Status kerusi DUN Melalap belum diputuskan - Speaker DUN Sabah


Status kerusi DUN Melalap belum diputuskan - Speaker DUN Sabah
Oleh Izwan Abdullah - Mac 22, 2025 @ 11:50pm
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya. Foto ihsan Jabatan Penerangan
TUARAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan meneliti tarikh semakan difailkan Datuk Peter Anthony bagi mengetepikan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan terhadapnya pada 4 Mac lalu.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, berkata tindakan itu penting bagi menentukan sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang disandang Peter diisytihar kosong atau sebaliknya.

Katanya, Peter mempunyai tempoh 14 hari untuk mengambil tindakan susulan bagi mengelak beliau kehilangan kerusi selepas diperintah menjalani hukuman penjara tiga tahun bermula 4 Mac lalu.

"Kita akan buat keputusan sama ada permohonan itu (semakan keputusan Mahkamah Rayuan) dibuat dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan negeri.

"Tapi, tempoh itu sepatutnya sudah tamat pada 18 Mac. Jadi, kita beri beliau masa kerana mereka ada memberi notis kepada kita (DUN) bahawa mereka akan membuat satu permohonan akhir," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Sabah, petang tadi.

Beliau berkata demikian mengulas status Peter selepas Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu dilapor memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 pada 4 Mac lalu.

Hukuman itu diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022 susulan kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Peter selaku perayu memfailkan notis usul bersama afidavit sokongan di Mahkamah Rayuan pada 14 Mac lalu menerusi firma guaman Tetuan Kow, Lau & Ezra dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Berdasarkan notis usul itu, Peter memohon mahkamah mengkaji semula dan mengetepikan sabitan serta hukuman dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 4 Mac lalu di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Kadzim berkata, peguam dari pejabat Parti KDM sebelum ini ada menghubungi Pejabat DUN melalui surat mengenai permohonan yang akan dibuat Peter.

"Kita sudah meminta peguam memberikan kami notis itu. Jadi, kita akan lihat tarikh tamat permohonan difailkan... jika tarikhnya selepas 18 Mac, maka beliau sudah kehabisan tempoh 14 hari dan kerusi disandangnya secara automatik akan kosong.



"Jika ia difailkan sebelum 18 Mac, maka ia masih dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan. Jadi, saya perlu tunggu sama ada permohonan itu difailkan dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan atau tidak," katanya.

Ulasan