STEM: Kaji semula dasar, belum capai sasaran 60%
March 25, 2025
Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff
KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan untuk mengkaji semula dasar sasaran 60 peratus pelajar dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berbanding 40 peratus dalam aliran sastera.
Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, meskipun pendaftaran pelajar dalam aliran STEM menunjukkan peningkatan kepada 50.8 peratus, ia masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini.
“Cabaran untuk menarik minat pelajar pelajar memasuki bidang STEM adalah amat besar bagi kerajaan kita.
“Jadi seperti yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat timbalan menteri tadi bahawa 50.8 peratus pelajar mendaftar aliran STEM, ia satu peningkatan yang baik. Namun begitu, sasaran dasar dahulu adalah 60 peratus sains, 40 peratus sastera.
“Jadi soalan saya selaras dengan cadangan pelan pendidikan masa depan Malaysia 2026-2036, adakah KPM bercadang untuk mengkaji dan menyemak semula dasar ini kerana ia masih belum dapat mencapai sasaran 60 peratus?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, dasar 60, 40 peratus telah ditetapkan sejak sekian lama dan trend terkini menunjukkan peningkatan setiap tahun sejak 2021.
“Sebagai contoh, pada tahun 2021, peratusan pelajar dalam aliran STEM adalah 40.95 peratus, diikuti dengan 40.94 peratus pada tahun 2022. Dengan usaha berterusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan semua pihak, angka ini meningkat kepada 45.73 peratus pada tahun 2023.
“Dalam tempoh satu tahun, peratusan ini berjaya ditingkatkan sebanyak 5 peratus, mencapai 50.83 peratus pada tahun 2024. Berdasarkan trend peningkatan ini, kami yakin sasaran 60 peratus dapat kita capai,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan