
Super-sub bantu kemenangan Liverpool
Harvey Elliott (kanan) meraikan jaringan gol menentang Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara di Parc des Princes hari ini. - AFP
Oleh Meja Sukan
6 Mac 2025, 6:38 am
PARIS: Pemain gantian Harvey Elliott yang dimasukkan pada lewat permainan membantu Liverpool mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di sini, pagi ini.
Elliott yang menggantikan Mohamed Salah memecah kebuntuan mencari gol pada minit ke-87 apabila menyempurnakan hantaran rakan sepasukan, Darwin Nunez sekali gus memberi kelebihan kepada pelawat dalam pertemuan kedua berikutnya.
Perlawanan hari ini menyaksikan Liverpool bergelut dengan corak permainan bertenaga PSG yang melancarkan 28 percubaan ke gawang lawan termasuklah jaringan Khvicha Kvaratskhelia yang kemudian dibatalkan kerana ofsaid.
Kemenangan tipis itu bagaimanapun memberikan Reds kelebihan apabila mereka menjadi tuan rumah dalam pertemuan kedua di Anfield selepas ini.
Jika Liverpool menang dalam pertemuan kedua nanti, Reds akan menentang pemenang antara Aston Villa dengan Club Brugge dalam suku akhir, walaupun persembahan PSG cukup untuk menggambarkan mereka turut memiliki peluang yang sama. – AFP/UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan