Tangani seludup minyak masak perlu kerjasama negara jiran


Tangani seludup minyak masak perlu kerjasama negara jiran
March 20, 2025

Senator Musoddak Ahmad

KUALA LUMPUR: Isu penyeludupan minyak masak bersubsidi perlu ditangani dengan lebih tegas melalui kawalan sempadan yang ketat serta kerjasama rentas negara.

Senator Musoddak Ahmad berkata, penyeludupan minyak masak bukan sekadar masalah penguatkuasaan dalam negara tetapi memerlukan tindakan bersepadu bersama negara jiran bagi memastikan ketirisan dapat dihentikan sepenuhnya.

“Sejauh manakah kerajaan mengadakan kerjasama dengan negara jiran bagi menangani isu ini supaya dapat ditangani bersama negara jiran,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Dr Fuziah Salleh, berkata kerajaan telah memperkukuh operasi bersepadu bersama pelbagai agensi penguat kuasa bagi membanteras sindiket penyeludupan.

“Apabila ketirisan berlaku, kita sering menerima maklumat awal mengenai lokasi pengumpulan minyak masak oleh sindiket. Dari situ, kita dapat melaksanakan tindakan segera untuk menumpaskan mereka,” katanya.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin yang meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan jumlah individu yang terlibat di dalam menyorok minyak masak paket yang telah dikenakan tindakan undang-undang setakat ini dan adakah kegiatan menyorok ini menjejaskan golongan sasar B40 yang sepatutnya menikmati kemudahan ini dengan harga minyak masak paket yang lebih mampu milik. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

Ulasan