Teh, kopi punca sembelit di bulan Ramadan


Teh, kopi punca sembelit di bulan Ramadan
KUALA LUMPUR 28 JANUARI 2024 - Resepi Teh Tarik oleh peserta Mohamad Shamier Danial Nor Hasmawi yang memenangi tempat ketiga.Pusingan akhir Cabaran Teh Tarik di Menara Kuala Lumpur pada hari ini. / M Firdaus M Johari
Oleh ROSALINDA MD SAID
11 Mac 2025, 8:20 am

MENIKMATI secawan kopi dan teh boleh membuatkan seseorang bertenaga untuk memulakan rutin hariannya.

Sama ada diminum sejuk atau panas, kedua-dua kaedah itu memberikan kesegaran kepada minda sekali gus membuatkan tubuh rasa selesa.

Namun, pengambilan yang berlebihan di bulan Ramadan iaitu ketika bersahur, berbuka dan moreh boleh memberi kesan kepada proses membuang air besar atau penyahtinjaan.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Dr. Abbe Maleyki Mhd. Jalil berkata, teh mengandungi asid tanik tinggi yang menyumbang kepada masalah sembelit.

Manakala kopi pula mengandungi kafein bersifat diuretik yang menyebabkan seseorang kerap kencing.

“Apabila kerap kencing, badan akan kekurangan air dan keadaan ini secara langsung membawa kepada sembelit.

“Tambahan pula, di bulan Ramadan, pengambilan air biasanya tidak mencukupi disebabkan masa yang singkat di antara waktu berbuka puasa, tidur serta bersahur,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.


Abbe Maleyki berkata, pengambilan serat yang tidak mencukupi sepanjang berpuasa turut mempengaruhi masalah sembelit.

Amalan memakan dua hingga tiga biji buah kurma dalam sehari disifatkannya masih tidak memadai bagi mencapai saranan pengambilan serat.

Hal itu kerana, masyarakat lebih fokus mengambil makanan utama seperti nasi dan kuih-muih daripada memakan buah-buah dan sayur-sayuran.

Tambahnya, faktor penyebab sembelit yang lain ialah pengambilan makanan tinggi kandungan minyak seperti susu, keju dan menu-menu bergoreng secara berlebihan.

“Lemak melambatkan proses penghadaman makanan di dalam perut sekali gus mengundang sembelit.

“Punca-punca lain ialah aktiviti fizikal yang terhad di samping sering melengahkan masa ke tandas untuk penyahtinjaan.

“Penyerapan air terus berlaku di dalam usus jika anda lambat ke tandas. Apabila air semakin berkurangan maka tinja akan menjadi lebih keras hingga berlakunya sembelit,” katanya.

Jelas Abbe Maleyki, sembelit berlaku apabila proses penyahtinjaan tidak berlaku seperti biasa atau sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Ia termasuk kesukaran semasa proses penyahtinjaan (tinja yang keras dan sukar untuk dikeluarkan).

Beliau tidak menafikan yang masalah itu boleh menjadi bertambah teruk di bulan Ramadan berikutan pertukaran tabiat pemakanan, pengambilan air serta aktiviti fizikal.

Golongan berisiko

Masalah sembelit boleh dialami semua individu, namun paling berisiko ialah wanita hamil dan warga emas berumur 65 tahun ke atas.

Katanya, pada trimester ketiga berlaku tekanan dinding rahim pada bahagian usus besar dan ini menyebabkan otot usus besar bergerak dengan lebih perlahan.

Manakala, warga emas kurang pengambilan air di samping kelemahan otot usus besar untuk menolak tinja ke bahagian bawah usus.

Katanya, bagi golongan kanak-kanak pula lebih cenderung mendapat sembelit jika tidak pengambilan serat, air dan aktiviti fizikal mereka tidak diperhatikan dengan betul.


10 minit tanpa gangguan di tandas
Antara kaedah bagi membantu mengatasi masalah sembelit ialah dengan meluangkan antara lima hingga 10 minit setiap hari di tandas, tanpa gangguan.

Amalan ini membolehkan usus membuat predictable bowel movement dan seterusnya melancarkan proses penyahtinjaan.

Kata Abbe Maleyki, ia boleh dilakukan sebelum atau selepas waktu Subuh.

“Kaedah lain ialah dengan menentukan posisi ideal semasa duduk di tandas duduk dengan memastikan lutut lebih tinggi sedikit dari pinggul.

“Ia boleh dilakukan dengan meletakkan bangku kecil di atas lantai dan kemudian, tundukkan badan sedikit ke bawah dengan meletakkan kedua-dua tangan di atas peha. Kedudukan sebegini ini dapat membantu penyahtinjaan,” katanya.

Selain itu, ujarnya, orang ramai perlu mengambil air dan serat dengan secukupnya.

Serat larut air terdiri daripada inulin dan beta glukan manakala serat tidak larut air pula ialah mil gandum penuh, buah-buahan yang dimakan bersama kulit dan serat sayur-sayuran.

Bagaimanapun, pengambilannya perlu diiringi dengan pengambilan air yang mencukupi kerana air sangat diperlukan bagi melancarkan proses penyahtinjaan.

“Masyarakat turut dinasihatkan untuk mengehadkan pengambilan teh dan kopi di bulan Ramadan,” katanya.

Namun, jika masalah ini masih berlarutan di sebalik peningkatan pengambilan air, serat dan aktiviti fizikal, maka, pesakit boleh mendapatkan nasihat doktor.

Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang digunakan bagi mengatasi masalah ini dan ia bergantung pada tahap keseriusan seseorang.

“Perlu diingatkan yang ubat-ubatan adalah bersifat sementara dan tidak dapat boleh digunakan untuk merawat masalah sembelit dalam jangka masa panjang,” katanya.


Minum lapan gelas air sehari
Amalan minum air antara enam hingga lapan gelas sehari atau bersamaan 1,800 hingga 2,400 mililiter mungkin nampak mudah tetapi sering diabaikan ramai.

Bagi mencapainya, Abbe Maleyki berkongsi teknik pengambilannya pada setiap waktu makan di bulan Ramadan.

“Minum satu hingga dua cawan ketika berbuka puasa diikuti jumlah yang sama selepas solat Tarawih atau sebelum tidur.

“Teruskan ketika bangun tidur dan semasa bersahur, maka dengan pembahagian itu cukuplah jumlah enam hingga lapan gelas seperti disarankan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesyorkan pengambilan dua sajian buah-buahan dan tiga sayur-sayuran seperti dalam piramid pemakanan Malaysia.

Ujarnya, pengambilan minimum serat adalah sebanyak 30 gram sehari.

“Selain meningkatkan bahan tinja, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi kandungan air seperti tembikai juga dapat menyumbang kepada pengambilan air seharian.

“Contohnya, makan sebiji pisang bersaiz sederhana ketika berbuka di samping dua sudu besar sayur atau ulam-ulaman yang dimakan bersama nasi.

“Selain itu, seinci potongan tembikai atau separuh potongan mangga sebagai moreh manakala untuk bersahur pula pilih 4 sudu besar oat, muesli atau sayur-sayuran yang dimakan bersama nasi,” katanya.



Risiko buasir
Sembelit yang berpanjangan dapat menyebabkan masalah lain seperti haemorrhoids atau buasir.

Abbe Maleyki berkata, proses meneran bagi mengeluarkan tinja yang keras ini akan menyebabkan kecederaan pada anus sekali gus meningkatkan risiko untuk mendapat buasir.

Katanya, buasir terdiri daripada beberapa jenis bergantung kepada tahap keseriusan.

“Masalah buasir yang tidak serius boleh dirawat dengan ubat-ubatan manakala yang serius pula mungkin memerlukan pembedahan kecil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat untuk sentiasa mengamalkan tiga formula mudah bagi mengelakkan dan mengatasi masalah sembelit di samping buasir.

Ia adalah menerusi pemakanan sihat yang tinggi serat, mengambil air yang secukupnya dan melakukan aktiviti fizikal.

“Jika masalah sembelit berlarutan selepas mengamalkan gaya hidup sihat, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor kerana ia mungkin petanda penyakit lain seperti kanser kolon,” katanya.

Ulasan