Tekanan politik DAP, berisiko pecah-belah masyarakat



Tekanan politik DAP, berisiko pecah-belah masyarakat
March 5, 2025


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mencadangkan agar 10 peratus peruntukan kerajaan diberikan kepada bukan-Bumiputera tidak lain adalah satu bentuk tekanan politik daripada DAP dan sekutunya dalam kerajaan.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad mempersoalkan sama ada cadangan tersebut adalah satu strategi politik untuk meraih sokongan bukan-Bumiputera menjelang pilihan raya akan datang.

“Atau cubaan menguji daya tahan kerajaan dalam menangani isu sensitif yang berpotensi memecah-belahkan masyarakat. Tambahan pula, jika dilihat pada fakta dan angka, Bumiputera masih ketinggalan dari sudut pendapatan.

“(Juga) pemilikan ekuiti korporat dan merupakan golongan dominan dalam kelompok miskin. Justeru, Bumiputera sememangnya perlu diberi sokongan tambahan bagi memastikan keseimbangan ekonomi negara dapat dicapai.

“Namun, ini tidak bermakna hak bukan-Bumiputera dinafikan. Realitinya rakyat miskin dari semua kaum tetap perlu dibantu, kerana itu dasar yang berasaskan keperluan (need-based policy) boleh dipertimbangkan.

“Tidak perlu membangkitkan sentimen kaum seperti yang cuba dilakukan oleh DAP,” katanya turut membangkitkan isu peruntukan yang terus dinafikan pihak kerajaan kepada ahli parlimen pembangkang di mana kebanyakannya mewakili kawasan majoriti Melayu.

Jelasnya, keadilan dalam Kerajaan Madani perlu dipersoalkan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan dalam sistem peruntukan.

“PAS Selangor ingin mengingatkan, sebarang perubahan terhadap sistem peruntukan perlu dibuat dengan berhati-hati dan berasaskan keperluan sebenar rakyat tanpa menjejaskan kesejahteraan Bumiputera.

“PAS Selangor juga menyeru kerajaan supaya tidak tunduk kepada tekanan politik yang boleh menggugat kestabilan negara dan merosakkan asas-asas yang telah dibina selama ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2025

Ulasan