
Terengganu terima teguran, persembahan tidak peka sensitiviti Ramadan
18 Mac 2025 10:38am
Masa membaca: 2 minit
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menyambut baik teguran orang ramai berhubung persembahan tarian dan nyanyian yang kurang sesuai pada program Pelita Raya dan Pesta Moreh tahun ini.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, maklum balas diberikan itu dihargai bagi memastikan keharmonian Ramadan serta agenda Indahnya Hidup Bersyariah terus terpelihara.
Menurutnya, walaupun Pelita Raya bertujuan mengangkat budaya warisan Melayu Islam Malaysia, terdapat aduan mengenai persembahan yang dikatakan kurang sesuai dengan sensitiviti bulan Ramadan.
"Kami mengambil serius perkara ini dan akan meneliti semula pengisian acara supaya ia selari dengan nilai-nilai Islam serta budaya masyarakat," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Tambahnya, kerajaan negeri juga sedang memperbaiki garis panduan kebudayaan dan hiburan bagi memastikan acara seumpama ini tidak mencetuskan kontroversi pada masa hadapan.
Dalam pada itu, berkenaan Pesta Moreh, beliau mengakui program itu membantu ekonomi rakyat namun ada kebimbangan bahawa lambakan lokasi moreh menyebabkan Ramadan lebih ditekankan sebagai pesta makanan berbanding 'pesta' ibadah.

Tangkap layar video yang memaparkan persembahan yang diadakan pada program Pelita Raya, baru-baru ini.
"Sehingga ada persepsi bahawa segelintir pihak lebih teruja mengejar juadah moreh daripada memperbanyakkan ibadah," jelasnya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menambah baik pengisian Pesta Moreh, termasuk mencadangkan penambahan slot keagamaan seperti tazkirah pendek atau aktiviti kerohanian di lokasi moreh.
"Kami komited memastikan setiap program sepanjang Ramadan bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi rakyat tetapi juga memperkukuh nilai-nilai Islam dalam masyarakat," tegasnya.
Beliau turut mengajak rakyat Terengganu untuk sama-sama memeriahkan Madinah Ramadan yang sedang berlangsung di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu.
"Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan dan menjadikan Ramadan di Terengganu lebih bermakna buat semua," katanya.
Sebelum ini tular beberapa video memaparkan persembahan nyanyian dan tarian yang disifatkan tidak sesuai diadakan seolah tidak peka terhadap sensitiviti Ramadan.
Selain itu, turut tular beberapa video mandakwa jualan moreh kurang mendapat sambutan kerana berlaku lambakan lokasi perniagaan itu di beberapa tempat.
Ulasan
Catat Ulasan