Tiada dendam politik siasat kes profil tinggi




Tiada dendam politik siasat kes profil tinggi
DIANA AZIS

05 Mac 2025 09:00am
Masa membaca: 2 minit

SHAH ALAM - Tidak timbul isu motif dendam politik dalam siasatan atau dakwaan terhadap bekas Perdana Menteri atau pihak yang ada kaitan dengan mereka.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berpandangan, tindakan penguat kuasa dilakukan memandangkan kebanyakan kes terkait rasuah dan salah guna kuasa yang perlu disiasat secara tuntas serta menyeluruh.

“Umum tentunya bersetuju apa sahaja perkara yang terkait integriti terutama melibatkan kepentingan awam, siapa pun yang terlibat mesti disiasat dan diambil tindakan.

“Melihat kepada trend mana-mana kes rasuah yang lazimnya melibatkan banyak pihak terutama dalam kes berprofil tinggi, tidak mustahil ada lagi pihak yang akan didakwa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.


Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah suspek dalam siasatan isu perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti ketika beliau menerajui negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, ia susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah safehouse susulan serbuan dilakukan pihaknya.

Beliau berkata, antara tindakan dilakukan SPRM terhadap bekas Perdana Menteri kesembilan itu ketika ini adalah meminta Ahli Parlimen Bera itu melakukan perincian harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM.

Sementara itu Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berpendapat, agensi penguat kuasa rasuah itu tidak pernah berkompromi dalam isu membabitkan integriti dan menjalankan tanggungjawab seperti diamanahkan.

“Pada saya, SPRM menjalankan tugas siasatan dan dakwaan berdasarkan laporan dan bukti-bukti. Mereka tidak lakukannya secara semberono.

“Siasatan tidak hanya dilakukan terhadap individu berprofil tinggi, bekas menteri dan sebagainya tetapi secara kebetulan, beberapa individu yang ditahan merupakan bekas Perdana Menteri,” ujarnya.

Ulasan