Tiada lagi ‘bantuan percuma’ kepada sekutu AS

Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
4 Mac 2025, 6:40 am
SINGAPURA: Amerika Syarikat (AS) kini tidak lagi dilihat sebagai sebuah negara ‘penyelamat’, tetapi lebih seperti ‘tuan tanah yang sibuk meminta sewa’.
Menerusi analisis yang ditulis William Choong dari Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS)-Institut Yusof Ishak, pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump ketika ini menyaksikan tiada lagi bantuan sewenang-wenangnya diberikan kepada negara sekutu.
Sebaliknya, jika mereka mahukan pertolongan dari AS, negara-negara berkenaan perlu memberi cagaran atau perjanjian sebagai timbal balik.
Katanya, Trump hanya memberi tumpuan kepada negara-negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS , terutamanya di Eropah selain dijangka mengajak negara sekutunya supaya bersama-sama menanggung beban keselamatan bagi mengurangkan perbelanjaan Washington.
Sebagai contoh, ketika Ukraine meminta jaminan dan sokongan keselamatan daripada Washington, Trump mahu Kyiv berkongsi hak mineral negara itu dengan AS sebagai timbal balik.
BAGAIMANA NASIB NEGARA ASIA?
William menyatakan Trump berkemungkinan menggunakan pendekatan serupa di Asia iaitu menerusi kerjasama dengan China dan tidak mengendahkan kepentingan di negara serantau.
Beliau berkata, Asia Tenggara mungkin belum berada dalam radar Trump, namun situasi itu mungkin tidak bertahan lama memandangkan beberapa negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam mencatatkan lebihan dagangan yang tinggi dengan AS.
Namun, ada juga negara yang cuba mengelak daripada menjadi sasaran AS dengan berusaha menjalin kerjasama yang lebih luas.
Antaranya ialah Jepun apabila Perdana Menteri Shigeru Ishiba menerusi satu sidang kemuncak memuji beberapa tindakan Trump dengan harapan Presiden AS itu tidak mengenakan sebarang tarif perdagangan yang lebih ketat.
TIDAK BOLEH TERLEPAS
Bagaimanapun, William menegaskan Asia Tenggara tidak akan terlepas daripada cengkaman Trump.
Katanya, Singapura memainkan peranan penting dalam unjuran kuasa AS di rantau ini.
Semasa pentadbiran Trump pada 2019, kedua-dua negara memperbaharui memorandum persefahaman untuk melanjutkan penggunaan Washington terhadap pangkalan udara tentera Singapura selama 15 tahun.
Namun, kerjasama itu masih tidak mampu menghalang Singapura daripada terkesan akibat pendekatan yang dilaksanakan AS.
Tarif perdagangan yang dikemukakan Trump menjejaskan Singapura secara tidak langsung kerana ia disasarkan kepada negara yang menjejaskan rantaian bekalan dan perdagangan global.
Selain Singapura, Filipina juga merupakan sekutu lama Washington di Asia Tenggara yang mempunyai lebihan dagangan minimum iaitu AS$4 billion (RM17.9 billion).
Namun, Trump dijangka tidak meneruskan pelan Presiden AS sebelum ini, iaitu Joe Biden dalam meningkatkan keupayaan ketenteraan negara itu.
Bagi Vietnam pula, negara itu menjadi antara pilihan utama Trump apabila merekodkan lebihan dagangan ketiga terbesar selepas China dan Mexico.
HADAPI PERUBAHAN AS
Daripada perspektif yang lebih luas, Asia Tenggara mempunyai pilihan sekiranya AS cuba ‘memporak-perandakan’ sektor ekonomi dan keselamatannya
Pertama, negara-negara terlibat boleh memilih untuk tidak lagi mengikut telunjuk AS manakala pilihan kedua, mereka perlu menjalin kerjasama dengan negara kuasa pertengahan seperti Australia, India dan Jepun.
Ketiga, negara-negara yang agresif menuntut wilayah perairan di Luat China Selatan seperti Filipina dan Vietnam perlu mengelakkan lebih banyak konflik dengan Beijing.
Hal ini kerana, Trump boleh melakukan sebarang perjanjian dengan China melibatkan kawasan panas di Laut China Selatan pada bila-bila masa.
– AGENSI
Ulasan
Catat Ulasan