Tiga DJ: Dapatkah Malaysia memperbaiki hubungan kaum?




Tiga DJ: Dapatkah Malaysia memperbaiki hubungan kaum?
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
10 Mac 2025, 6:50 am

Tindakan tiga DJ yang mempersendakan agama Hindu adalah salah dan tidak boleh diterima. Di negara yang sangat sensitif mengenai isu 3R (Raja, Agama dan Kaum), perbuatan tiga selebriti radio itu hanya memburukkan isu perkauman yang sememangnya rapuh.

Kakitangan yang merekodkan serta memuat naik kandungan itu juga seperti tidak mengetahui implikasinya. Masyarakat negara ini tidak kira kaum sangat sensitif terhadap sebarang kan­dungan yang memburukkan kaum, agama atau raja mereka.

Tindakan tanpa berfikir panjang itu hanya menjemput golo­ngan rasis lain untuk ke hadapan dan menghina Islam. Tidakkah mereka sedar, terlalu ramai golongan rasis ini di Malaysia.

Dengan pantas satu video dengan kata-kata kesat menghina Islam dimuat naik di Facebook oleh pemilih bernama ‘Vijayan Savarinathan‘. Polis mendakwa lelaki itu berada di luar negara. Dia berani menghamburkan kata-kata kesat itu kerana yakin tidak akan diekstradisi ke Malaysia. kebebasan bersuara di negara asing menghalang capaian undang-undang negara ini. Jadi, Vijayan akan bebas.

Bukan sahaja rasis seperti Vijayan bermaharajalela. Ahli politik turut serta dalam perdebatan. Tindakan tiga DJ itu memohon maaf berulang kali seperti tiada makna.
Kesanggupan memaafkan adalah konsep asing di Malaysia.

Jadi ahli politik yang berjuang atas nama mempertahankan kaum masing-masing bangun dengan gah seperti Superman atau Rasisman. Mereka juara ketika perkara seperti ini timbul.


Sistem politik Malaysia secara sendirinya menggalakkan perkauman dan bukan kesetiaan kepada negara. Mereka menang kerusi Parlimen atau DUN berlandaskan slogan mempertahankan kepentingan kaum dan agama dan bukan Malaysia. Salah atau betul, itu realitinya. Retorik perkauman adalah asas perjuangan walaupun cuba digula-gulakan dengan kesediaan menerima perbezaan.

Ahli politik berkenaan juga tidak salah. Untuk menang, mereka hanya melakukan apa dikehendaki penyokong. Hipokrit? Kadangkala untuk jawatan, kedudukan dan kuasa siapa peduli dilabel hipokrit. Hanya mereka yang tidak takut kehila­ngan jawatan atau gaji lumayan akan melakukan perkara yang betul sepanjang masa.

Adakah ada peluang untuk Malaysia memperbaiki kerapuhan perkauman ini? Tidak mungkin kerana apa yang berlaku hari ini bermula sejak negara merdeka lagi.

Malaysia tidak seperti Indonesia atau Thailand yang melaksanakan hanya satu bahasa percakapan atau satu sistem persekolahan atau satu falsafah tanpa mengira kaum atau agama. Pada label satu air botol di Indonesia tertulis “ada 750 bahasa di Indonesia & SATU BAHASA INDONESIA”. Pejuang yang menentang Belanda untuk kemerdekaan menyatukan negara itu de­ngan bahasa. Mereka mencapai kemerdekaan dengan peluru.

Malaysia pula berbincang dengan British (dan mungkin ditipu oleh British seperti selalunya) dan membenarkan semua bahasa diutamakan. Begitu juga sistem sekolah dan banyak lagi. Jadi sudah terlewat untuk bercerita mengenai perpaduan kerana kita sudah terlewat lebih enam dekad.

Apa solusinya? Mungkin lebih ramai rakyat lebih terbuka dan berhati besar. Seperti seorang ibu menerima dan menjadikan anak orang lain seperti anaknya sendiri. Anak itu menjadi matahari dalam hatinya selain sumber kebahagiaan dan ke­sedihan.

Perpaduan akan wujud dengan kesanggupan menerima kaum lain seperti “matahari di hati”. Pilihan lain adalah me­runtuhkan negara, struktur sosial, politik dan risiko terhadap ekonomi bernilai RM1.5 trilion serta bermula dari mula. Pilihan Malaysia sangat terhad.



Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. – UTUSAN

Ulasan