ULASAN | Propaganda Sun Tzu: Panduan elak gagal dalam perang politik



Kolum
ULASAN | Propaganda Sun Tzu: Panduan elak gagal dalam perang politik
Diterbitkan: Mar 19, 2025 7:30 AM

Lebih 2,500 tahun yang lalu, sekitar abad ke-5 SM, seorang panglima perang bernama Sun Tzu telah menulis sebuah karya agung bertajuk The Art of War (Seni Peperangan). Namun, kewujudan sebenar Sun Tzu masih menjadi perdebatan.

Ada yang percaya beliau adalah tokoh sejarah, ada pula yang menganggapnya sebagai persona kolektif, bahkan ada yang melihatnya sebagai mitos yang dikembangkan untuk kepentingan kekuasaan. Walau apapun misterinya, yang tidak dapat dinafikan ialah pemikirannya yang terdokumentasi dalam The Art of War terus menjadi doktrin penting dalam dunia strategi ketenteraan dan politik.

Buku ini mula tersebar ke luar China sekitar tahun 716 hingga 735 Masihi di Jepun dan kemudian menjadi kitab strategi rujukan para jeneral perang. Napoleon Bonaparte mengadaptasi prinsipnya untuk meluaskan empayar Perancis, manakala Mao Zedong menjadikannya asas dalam revolusi komunis di China.

Dunia Barat mula mengkaji strategi Sun Tzu apabila seorang mubaligh Kristian, Jean Joseph Marie Amiot, menterjemahkannya ke dalam bahasa Perancis pada tahun 1772. Pada tahun 1905, Everard Ferguson Calthrop, seorang pegawai tentera British di Jepun, memperkenalkan versi bahasa Inggeris yang kemudian diperhalusi oleh Lionel Giles pada tahun 1910, menjadikan buku ini sebuah kanun strategi peperangan paling berpengaruh di dunia.

Namun, di luar medan perang yang dipenuhi senjata dan darah, prinsip yang terkandung dalam The Art of War turut menjadi senjata dalam satu lagi peperangan—politik. Politik adalah peperangan tanpa senjata konvensional tetapi tetap melibatkan taktik, manipulasi, dan strategi untuk menguasai minda serta persepsi rakyat.

Seperti mana dalam peperangan, kemenangan dalam politik bukan hanya bergantung pada kekuatan jentera parti tetapi pada seni propaganda yang tersusun. Sebagai seseorang yang telah bergelumang dalam politik dan kini bergerak dalam arena akademia serta jurulatih propaganda, saya melihat pemikiran Sun Tzu bukan sekadar relevan tetapi merupakan ‘kitab rujukan’ dalam seni menakluk musuh politik.

Dalam politik, propaganda bukan sekadar alat komunikasi, tetapi sebuah senjata strategik untuk membentuk persepsi, menanam keraguan, dan mencipta naratif yang memihak kepada pihak yang mengendalikannya. Sun Tzu telah menggariskan tiga prinsip utama dalam peperangan yang dapat diterjemahkan ke dalam politik.

Pertama, memperkukuhkan imej sendiri untuk membina kredibiliti di mata awam. Kedua, menyerang kelemahan musuh secara sistematik untuk melemahkan kedudukan mereka. Ketiga, mengelirukan pihak lawan dan masyarakat umum bagi mencipta ketidaktentuan yang boleh dimanipulasi untuk kelebihan sendiri.

Sun Tzu menegaskan bahawa kemenangan bukan ditentukan di medan pertempuran, tetapi dalam persiapan sebelum pertempuran bermula. Dalam politik, ini bermaksud kemenangan pilihan raya ditentukan sebelum hari pengundian—melalui strategi jangka panjang yang tersusun.

Sebagai contoh, jika sebuah parti—katakan Parti A—ingin menawan kawasan bandar yang merupakan kubu kuat Parti B, strategi pertama ialah pengumpulan maklumat dan analisis terperinci tentang demografi serta permasalahan rakyat di kawasan tersebut. Parti A perlu menjalankan tinjauan lapangan, memahami isu-isu utama seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, dan akses kepada perumahan.

Data yang diperoleh kemudian perlu diterjemahkan ke dalam bentuk naratif yang boleh mencetuskan ketidakpuasan hati pengundi terhadap Parti B. Naratif ini mesti berakar pada fakta yang kukuh dan bukan sekadar retorik kosong.

Jika Parti B gagal menangani isu perumahan, maka kempen Parti A mesti menonjolkan bagaimana kegagalan itu merugikan rakyat sambil menawarkan penyelesaian yang lebih meyakinkan. Namun, membentuk naratif sahaja tidak mencukupi. Seni propaganda memerlukan penyebaran yang efektif.

Sun Tzu menyebut bahawa kemenangan bergantung kepada kawalan terhadap medan pertempuran. Dalam politik moden, medan pertempuran ini bukan lagi sekadar ceramah dan risalah, tetapi platform digital seperti TikTok, Instagram, WhatsApp, dan Telegram. Propaganda yang efektif harus memanfaatkan media sosial dengan gaya penyampaian yang ringkas, emosi yang kuat, dan kaedah penyebaran yang pantas.

Dalam perang politik moden, data adalah senjata. Kempen pilihan raya Barack Obama pada tahun 2008 menjadi contoh bagaimana penggunaan data mampu mengubah landskap politik. Pasukan kempennya menggunakan analitik data untuk menyusun naratif yang disesuaikan mengikut latar belakang pengundi.

Dengan memahami trend pemilih, kempen Obama berjaya menembusi kawasan-kawasan yang secara tradisinya sukar ditembusi oleh Demokrat. Inilah strategi Sun Tzu dalam bentuk moden: memahami lawan, mengenal pasti kelemahan mereka, dan menggunakan maklumat sebagai senjata utama.

Jika Parti A mahu menumbangkan Parti B, mereka mesti menguasai data pengundi, memahami sentimen semasa, dan mengatur strategi berdasarkan kelemahan Parti B. Setiap mesej propaganda harus berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kajian data, bukan sekadar spekulasi politik.

Sun Tzu pernah menulis dalam bab sembilan The Art of War: "Jika kau terpaksa bertarung di kawasan paya masin, maka pastikan sekelilingmu adalah kawasan berair dan berumput, juga berlindunglah di balik pohon." Dalam politik, ini bermaksud menggunakan kelebihan yang ada, memahami landskap pertempuran, dan memanfaatkan setiap ruang yang boleh memberi kelebihan. Parti yang beroperasi tanpa pemahaman terhadap data dan medan politik akan menghadapi kekalahan yang tidak dapat dielakkan.

Sun Tzu mengajar bahawa peperangan bukan hanya soal kekuatan, tetapi soal kebijaksanaan dan manipulasi. Dalam politik, siapa yang menguasai strategi propaganda akan menguasai persepsi rakyat.

Kejayaan dalam politik bukan soal siapa yang mempunyai manifesto terbaik, tetapi siapa yang mampu menguasai naratif. Dalam dunia yang penuh dengan maklumat dan disinformasi, parti yang paling bijak dalam mengawal persepsi akan memenangi peperangan politik.

Sebagaimana Sun Tzu menyatakan, "Peperangan adalah seni tipu daya." Dalam politik, mereka yang gagal memahami seni ini pasti akan tewas.

BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah naib ketua Umno bahagian Sungai Besar dan bekas ahli parlimen.

Ulasan