

Berita
'Umur 25 tapi macam dah beranak sepuluh' - Amira dedah kejian seksis
Diterbitkan: Mar 4, 2025 8:00 AMAhli politik wanita, sama ada yang masih berkhidmat atau bekas wakil rakyat, berkongsi pengalaman mereka menghadapi serangan berunsur seksis dan keganasan berasaskan gender.
Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz mendedahkan dia mengalami serangan tersusun terhadap penampilannya ketika mula menceburi politik.
"Saya masih ingat kata-kata keji yang mereka lontarkan kepada saya, perkara-perkara yang anda tak sangka orang sanggup ucapkan.
"Contohnya, mereka kata... 'baru umur 25 tahun tapi nampak macam dah menyusukan 10 orang anak’," katanya, mengimbau kembali serangan terhadapnya ketika bertanding di kerusi DUN Puteri Wangsa.

Dalam forum anjuran Westminster Foundation for Democracy (WFD) dan Malaysiakini di Kuala Lumpur semalam, Amira mengakui dia sudah bersedia berdepan kritikan sebagai wanita dalam politik.
Namun, realiti yang dihadapinya ternyata lebih buruk daripada jangkaannya, sehingga membuatkan Adun Puteri Wangsa itu hampir hilang keyakinan untuk meneruskan kempen pilihan raya.
Serangan peribadi
Panel diskusi lain, Adun DAP mewakili Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao (gambar bawah) turut berkongsi pengalaman menghadapi serangan dan fitnah yang menyebabkan dia cemas dan ragu-ragu untuk bertanding pada pilihan raya.

Menurutnya, ketika pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu tahun lalu, dia menghadapi khabar angin yang menuduhnya sebagai ahli MCA.
"Bukan sekadar tuduhan biasa, sebenarnya membawa maksud lebih buruk – mereka cuba mengaitkan saya dengan seorang lelaki dalam MCA, seseorang yang saya sendiri pun tak pernah kenal," katanya.
Selain itu, Pang turut dikritik kerana penampilan dan berat badannya.
"Apabila wartawan tanya saya, ‘apa perasaan anda terhadap komen tentang rupa paras dan penampilan anda?’
"Saya jawab (secara berseloroh) ‘saya okay dengan diri saya sebab saya bukan (pelakon) Fan Bingbing’," katanya, mengundang gelak tawa hadirin.
Media fokus paras rupa
Sementara itu, bekas calon Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas (gambar bawah) mengecam obsesi media terhadap penampilannya ketika bertanding pada PRU14 (2018) dan PRU15 (2022) di Sabah.
Katanya, kebanyakan tajuk berita lebih memaparkan dia bekas ratu cantik Unduk Ngadau yang menjadi seorang ahli politik.

"Ketika itu, saya mahu mengetengahkan manifesto, rancangan untuk kawasan saya," katanya.
Kini, Rampas telah meninggalkan dunia politik dan beralih menjadi seorang penyelidik bebas.
Lapor polis
Dalam sesi forum itu, Amira turut berkongsi tindakan yang diambilnya bagi menangani gangguan yang diterima, termasuk membuat laporan polis.
Katanya, dia marah kerana perkara seperti ini dianggap biasa dan wanita yang menceburi bidang politik seolah-olah perlu menangani komen tentang rupa paras mereka.
"(Sebab itu) bila saya buat laporan polis, saya bukan buat sekadar untuk diri sendiri, tetapi untuk semua wanita muda yang akan menyertai politik," tegasnya.
Tegasnya, jika perkara ini tidak dibendung, ia akan terus menjadi norma yang menormalisasikan penghinaan dan diskriminasi terhadap wanita dalam politik.
Ulasan
Catat Ulasan