URA: Rakyat bantah kerana wujudnya faktor penindasan


URA: Rakyat bantah kerana wujudnya faktor penindasan

Muslihat pindahkan penduduk dari kawasan kediaman asal
March 23, 2025

KEPALA BATAS: Penindasan ke atas rakyat selaku penduduk asal yang mendiami satu-satu perumahan atau penempatan adalah sebab utama bantahan dilakukan terhadap kerajaan berhubung Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

“Bangunan usang nak dicantikkan semula, kita tak bantah. Bangunan yang infrastruktur dia mundur, nak diperbaiki balik, kita tak bantah. Tetapi yang kita bantah adalah faktor penindasan yang berlaku di dalam akta yang akan digubal itu,” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang berucap demikian dalam pidatonya pada Flashmob Bantah RUU URA yang diadakan di hadapan Kompleks Dato’ Kailan, di sini kelmarin dahulu.

Jelas beliau undang-undang berkaitan pembangunan bandar sudahpun ada dalam banyak akta, namun perbezaan dengan penggubalan draf terkini Rang Undang-undang (RUU) URA adalah memasukkan satu komponen yang sebelum ini tidak berlaku.

Iaitulah terangnya, merombak ambang persetujuan daripada penduduk yang sebelum ini menetapkan setiap kediaman berstrata atau bertingkat itu mesti diperolehi 100 peratus, tetapi direndah atau dikurangkan peratusan tersebut.

Bidas Iszuree, komponen berkaitan ambang persetujuan tersebut dikurangkan sebenarnya mahu memenuhi sikap gelojoh para pemaju kapitalis yang selama ini sudahpun bertindak mengambil alih pemilikan penduduk.

Beliau mengajak masyarakat meneliti semula kejadian lenyapnya satu persatu kampung warisan Melayu di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, dengan terkini sedang berlaku pula di Kampung Baru Kuala Lumpur yang menjadi sasaran.

Bahkan menurutnya, di seluruh Ibu Negara itu telah dikenal pasti 139 kawasan penempatan yang dikatakan mempunyai nilai projek melebihi RM330 bilion untuk dilakukan usaha atau agenda Pembaharuan Semula Bandar.

“Mereka ini sedang dalam keadaan menidakkan hak 20 peratus (penduduk) bila mana ambang persetujuan 100 peratus itu akan diturunkan kepada 80 peratus. Dan syarat-syarat ada yang akan diturunkan kepada 75 peratus.

“Akan diturunkan kepada 50 peratus bergantung kepada syarat yang diberi. Sebelum ini tidak berlaku, sebelum ini memerlukan seratus-peratus persetujuan penduduk situ. Apa yang tersirat, mereka mungkin akan dipindahkan daripada situ.

“Dipindahkan luar daripada DUN atau Parlimen berkenaan. Di Pulau Pinang telah berlaku, di dalam pulau telah berlaku. Penduduk di Kampung Batu Uban (yang berawal sejak tahun) 1734. Walaupun tak ada URA bila mana rumah dipecah, dipindahkan DUN.

“Akhirnya apa berlaku? Komposisi kaum, polarisasi penduduk akan menjadi berbeza. Dulu kita ada 80-90 peratus kaum Melayu dalam kampung berkenaan. Sekarang bila naiknya kondominium. Apa yang akan berlaku?” ujarnya.

Tambah beliau, pembaharuan semula mahu dilakukan tersebut juga bakal menimpakan beban kepada penduduk melibatkan perubahan bayaran penyelenggaraan yang dijangka meningkat berbanding kadar asal.

“Orang-orang yang biasa duduk dalam kawasan flat, dia kena bayar ‘maintenance fee’. RM50, RM80 (misalnya). Tetapi bila pembangunan semula berlaku akan berlakunya perubahan kenaikan ‘maintenance’ atau orang Melayu senang panggil duit sampah,” ujarnya.

Menurut Iszuree lagi, URA bukan soal kaum Melayu, Cina atau India kerana sebagai rakyat Malaysia semua orang mahu hidup sama-sama secara harmoni di bandar, tetapi isunya adalah akta tersebut adalah usaha licik pihak tertentu.

Tempelaknya, Kerajaan Madani dilihat tidak akan membantu golongan rakyat sebaliknya lebih mengutamakan para pemaju kapitalis yang menjadi pemodal golongan kaya dan berkepentingan. – HARAKAHDAILY 23/3/2025

Ulasan