March 8, 2025
KUALA LUMPUR: PAS Selangor menyifatkan dakwaan Perdana Menteri bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) tidak mengubah status tanah terlibat sebagai hujah yang tidak menyeluruh dan tidak melihat kesan yang bakal berlaku.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti disiarkan oleh Jabatan Penerangan mengabaikan fakta bahawa ambang persetujuan yang telah diubah sendiri menentukan bagaimana hak pemaju dan penduduk akan saling bercanggah.
Menurutnya, pemaju mempunyai hak untuk meneruskan projek tanpa persetujuan pihak minoriti dan pihak minoriti tiada hak untuk melawan kerana kebenaran pihak pemaju sudah tertakluk akta.
“Apa yang dikhuatiri akan berlaku ketidakadilan sosial kepada penduduk yang tidak bersetuju. Pekerjaan dan pendapatan mereka mungkin tidak cukup untuk menampung kos sara hidup yang akan berubah selepas kawasan dan rumah mereka ‘diurbankan’ pihak pemaju.
“Sekiranya terpaksa berpindah, mereka juga bakal menempuh satu lagi fasa kepayahan mendapatkan rumah yang selesa dan mampu milik di luar sana,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya.
Zurk memberi contoh keadaan yang pernah berlaku di Singapura dan Pulau Pinang apabila pembaharuan semula bandar tidak dapat diterima penduduk asal, terutama kaum Melayu dan India yang terpaksa keluar ke kawasan lain yang lebih kecil.
Sehubungan itu, katanya cadangan drastik kerajaan adalah projek kapitalis yang menguntungkan pemaju dan strategi licik mengeluarkan orang Melayu di bandar menyebabkan orang Melayu hilang kuasa ekonomi dan politik di kawasan bandar.
“Masalah utama hartanah usang di bandar sepatutnya boleh diatasi dahulu dengan penguatkuasaan dan menyelesaikan masalah infrastruktur yang lebih terancang di kawasan tersebut.
“Malaysia tidak akan ketinggalan dalam aspek kemajuan seperti dicanangkan Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) jika akta ini tidak diluluskan secara terburu-buru sebaliknya kesan yang lebih besar adalah negara berisiko kehilangan warisan budaya dan identiti bangsa di bandar,” katanya.
Menurutnya, matlamat singkat dan tersirat yang ingin dicapai Kerajaan Madani hari ini tidak boleh menafikan ketakutan majoriti rakyat kepada nasib mereka dan negara pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 8/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan