
1,089 ketua isi rumah terima bantuan banjir fasa rayuan
Oleh Omar Ahmad - April 18, 2025 @ 8:08am
Keadaan Surau Al-Hijrah Kampung Pasir Tebrau, Johor Bahru ditenggelami banjir. - foto fail BERNAMA
JOHOR BAHRU: Seramai 1,089 Ketua Isi Rumah (KIR) fasa rayuan menerima bantuan khas kewangan bencana banjir Monsun Timur Laut (MTL) gelombang kelima, yang mula disalurkan hari ini dan esok.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata KIR ini adalah mangsa banjir yang terjejas tetapi tidak mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS).
Permohonan yang dihantar dalam tempoh rayuan menerusi Pejabat Daerah telah diluluskan dan 1,089 KIR mendapat RM3,000.
"Kerajaan Negeri Johor mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan pembayaran secara berfasa bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secepat mungkin kepada mangsa yang terjejas, di mana fasa pertama pembayaran telah dilaksanakan pada 27 Mac lalu.
"Bagi fasa kedua, sejumlah RM3.267 juta telah diperuntukkan yang mana sebanyak RM3,000 akan disalurkan pada hari ini dan esok kepada setiap 1,089 KIR yang telah mengemukakan rayuan di enam Pejabat Daerah hingga 11 April lalu.
"Bantuan ini adalah hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Onn Hafiz, bagi mangsa banjir yang terjejas tetapi tidak mendaftar di PPS masih berpeluang untuk mengemukakan rayuan bagi pertimbangan bantuan sehingga akhir April ini.
Katanya permohonan boleh dibuat di Pejabat Daerah yang terlibat iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang, dan Batu Pahat.
Ulasan
Catat Ulasan