
‘Abang Belon’ sudah buat laporan polis di IPD Dang Wangi
Insiden dikasari penguat kuasa DBKL hingga cedera
April 6, 2025
KUALA LUMPUR: Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, yang lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon, tampil membuat laporan polis pertamanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini jam 11:09 pagi hari ini.
Laporan itu berhubung insiden melibatkan dirinya dikasari oleh anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika menjalankan aktiviti perniagaan di Jalan Tunku Abdul Rahman antara jam 11:30 hingga 11:45 malam pada 28 Mac lalu.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali ketika sidang media selepas laporan itu memaklumkan, sebelum ini memang terdapat beberapa laporan polis dibuat berkaitan insiden itu, namun bukan diadukan oleh Zaimuddin sendiri.
Menurutnya, satu video tular memperlihatkan keadaan Zaim yang dikatakan telah dikasari, dianiaya, dipukul, dicekup leher, diterajang, dihimpit dan ditiarapkan oleh beberapa individu dikatakan anggota penguat kuasa DBKL.
“Dan akhirnya pada 29 hari bulan 3 (Mac) 2025 sehingga 4 April 2025 beliau telah diwadkan (Hospital Serdang),” kata Rafique dalam sidang media yang turut disertai beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).
Tindakan perundangan dan kekasaran penguat kuasa
Rafique turut menjelaskan bahawa tindakan undang-undang yang akan diambil oleh Muhammad Zaimuddin selaku mangsa adalah sebagai satu bentuk peringatan kepada semua agensi penguat kuasa.
“Tindakan ini bukan hanya untuk dirinya, tetapi bagi membela nasib mereka yang tiada suara, golongan biasa yang teraniaya ketika mencari sesuap nasi. Negara ini perlu sedar bahawa mereka yang berkuasa sering menerima layanan baik, manakala yang lemah terus ditindas,” katanya.
Rafique turut mempersoalkan sama ada tindakan yang dikenakan terhadap Zaimuddin adalah wajar dan sepadan.
“DBKL melaksanakan tugas kerana dia tiada lesen. Boleh kenakan tindakan, tapi adakah tindakan itu berpatutan dan tidak melampaui batas? Kita tak tahu kesan jangka masa panjang kecederaan Zaim. Ada masalah hernia juga,” katanya.
“Memang yang datang itu dua orang tidak berpakaian DBKL, tidak menunjukkan lesen kuasa tidak bercakap apa-apa terus grab sahaja belon. Dia tidak bertindak agresif dia tidak melawan. Perkara ini semua ada dalam laporan polis.
“Sebab tu saya minta pihak berkuasa dan saya difahamkan PDRM telah pun hantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara, mohon supaya Jabatan Peguam Negara beri sedikit masa sebab selepas ini beliau akan dirakam percakapan oleh pihak polis.
“Tunggu IP untuk ini siasat selesai terus majukan kepada AG. Buatlah keputusan yang berhemah tentang apa yang berlaku sebenarnya sama ada Seksyen 186 menghalang tugas penjawat awam itu dipenuhi atau tidak.
“Kerana beliau percaya tugas itu beliau tak halang tugas itu langsung. Beliau hanya nak selamatkan diri beliau. Tidak bertindak agresif,” – HARAKAHDAILY 6/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan