Ada aktiviti korek tanah di kawasan letupan, kontraktor dikenal pasti


Ada aktiviti korek tanah di kawasan letupan, kontraktor dikenal pasti
HUSSEIN Omar Khan (tengah) bercakap pada sidang akhbar susulan kebakaran melibatkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Height di Subang, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Oleh AIMAN ALI
5 April 2025, 6:50 am

SUBANG JAYA: Polis mengesah­kan terdapat aktiviti me­­ngorek tanah dilakukan ber­hampiran lokasi kejadian sebelum insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kerja menggali tanah itu dikenal pasti bagi tujuan penggantian saluran paip kumbahan yang terletak kira-kira 30 meter dari pusat letupan yang berusia 30 tahun sejak 1991.

Katanya, siasatan awal mendapati kerja tersebut dijalankan menggunakan jentera berat seperti jengkaut (backhoe) dan mesin penggali (excavator) oleh sebuah kontraktor dilantik pemaju sebelum dihentikan pada 30 Mac lalu.

“Pada kejadian itu sebuah mesin penggali dilaporkan terbenam ke dalam lubang berkenaan.

“Namun, pihak polis telah mengenal pasti kontraktor, pemaju serta pekerja terlibat dalam kerja-kerja tersebut dan kami sedang menyiasat sama ada aktiviti itu mempunyai kaitan langsung dengan insiden letupan.

“Setakat ini, sebanyak 56 keterangan telah diambil termasuk daripada mangsa, kontraktor dan pekerja di lokasi terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Putra Heights.

Menurut Hussien, berdasarkan kepakaran bomba, terdapat tiga unsur yang boleh menyebabkan letupan saluran paip gas iaitu gas, oksigen dan percikan api.

“Sekiranya kebocoran gas sahaja, paip itu tidak akan meletup. Petronas tidak ada maklumat kebocoran saluran paip gas berkenaan ketika kejadian letupan berlaku.

“Sekiranya ada kebocoran, Petronas boleh mengesannya di pusat mereka kerana Petronas mempunyai pengimbas dan sistem sekiranya berlaku penurunan tekanan, mereka boleh tahu.

“Justeru, kita masih menyiasat sama ada berlaku kebocoran atau sebaliknya. Semua akan diketahui selepas kita gali lubang tersebut,” katanya.

Tambah Hussein, polis juga mengenal pasti seorang saksi utama kejadian yang merupakan pengawal keselamatan yang berada kira-kira 30 meter dari lokasi letupan dan turut cedera dalam insiden itu.

“Beliau merupakan individu yang berada paling hampir dengan lokasi ketika letupan berlaku dan kini sedang menerima rawatan,” katanya.

Menurut beliau lagi, siasatan akan diteruskan dengan mengambil lebih banyak keterangan serta menunggu laporan forensik daripada pihak berkaitan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

“Fokus utama kita sekarang adalah untuk mengetahui sama ada kerja mengorek tanah itu menjadi pencetus kepada letupan paip gas tersebut.

“Pada masa sama, polis telah menerima sebanyak 20 rakaman video melibatkan dash cam, hantaran media sosial dan saksi bebas.

“Daripada separuh video ini, kita dapat mengesahkan keberadaan saksi utama yang berada di tempat kejadian dan ada merakam video semasa letupan berlaku.

“Kita masih lagi menyemak semua video yang diterima dan saya menyeru kepada orang ramai yang mempunyai rakaman video atau gambar berkaitan untuk menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Hussein turut memaklumkan bahawa polis telah membuka kertas siasatan yang memberi kuasa untuk memanggil sesiapa untuk mendapatkan maklumat serta sama ada terdapat unsur jenayah.

Jelasnya, agensi terlibat menganggarkan memerlukan lebih dua minggu untuk menghasilkan laporan awal berhubung insiden letupan itu.

“Buat masa sekarang kita membuat aktiviti penstabilan tanah di kawasan kejadian. Kemudian pada 15 April nanti, kita akan mula menggali kawah tersebut untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci.

“Manakala, dua minggu seterusnya untuk menghasilkan laporan lain kerana keadaannya yang kompleks. Justeru, kita perlu stabilkan keadaan yang telah menghasilkan kawah tersebut,” katanya. – UTUSAN

Ulasan