Adilkah minta mereka pulang…?
Oleh Yulpisman Haji Asli
12 April 2025, 6:50 am
“Pada saya, brain drain satu stigma. Apa yang kerajaan boleh lakukan ialah, majukan lagi ekonomi negara, wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan meneroka peluang-peluang baharu untuk mereka kembali dan berbakti kepada negara. Misalnya, dalam industri minyak sawit, semikonduktor dan lain-lain.
“Adalah tidak adil jika kerajaan meminta mereka pulang, tetapi peluang tidak ada pun untuk mereka.”
Itu reaksi seorang eksekutif muda bertaraf Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, ketika diminta mengulas isu brain drain yang dihadapi negara susulan laporan semakin ramai profesional tempatan berhijrah ke luar negara. Lebih membimbangkan, cerdik pandai tempatan yang dihantar melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang profesional juga dilaporkan tidak mahu pulang sebaliknya bekerja di luar negara.
Perkara itu didedahkan dalam laporan Utusan Malaysia baru-baru ini di mana, hampir 3,000 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sanggup membayar RM770 juta kepada kerajaan, semata-mata untuk bekerja di luar negara, sejak tahun 2010.
Menurut laporan itu, seramai 16,967 pelajar tajaan JPA melanjutkan pengajian ke luar negara. Daripada jumlah itu, 2,848 sanggup membayar balik keseluruhan tajaan mencecah RM1.2 juta seorang, mengikut bidang pengajian, institusi dan negara mereka belajar.
Bagi menangani trend itu, ada yang mencadangkan supaya syarat tajaan diperketat. Persoalannya, wajarkah? Seperti dinyatakan CEO berkenaan, apa yang perlu dilakukan kerajaan kini ialah mewujudkan dan mencipta lebih banyak peluang. CEO muda berasal dari Utara itu menuntut tiga tahun di sebuah universiti terkemuka di UK dalam bidang statistik. Namun, sekembalinya ke tanah air, beliau ditempatkan di bahagian sumber manusia. Beliau meletakkan jawatan dan menyertai sektor lain.
“Bagi saya, walaupun tidak dapat berkhidmat dalam bidang yang diingini, ilmu itu penting dalam kita mengharungi kehidupan,” mengulas sebab beliau tetap kembali, berbanding sekumpulan rakannya yang mengambil keputusan bekerja di luar negara sebaik menamatkan pengajian.
Penulis teringat kisah seorang jurutera lulusan sebuah universiti terkemuka di AS yang bekerja di banyak negara dan akhirnya pulang ingin menabur bakti. Namun, tiada syarikat yang berminat menawarkan peluang kepada beliau. Alasannya, tiada tempat yang sesuai dengan kelayakannya. Belum kira gaji yang wajar untuk beliau. Padahal, gaji bukan faktor utama bagi jurutera berkenan, namun peluang yang hendak dicari, tetapi tidak diberi.
Akhirnya, beliau menjadi seorang tukang kayu/besi. Satu kerugian besar buat negara selepas melabur ratusan ribu menaja pengajiannya di luar negara, tetapi ilmu dan kepakarannya tidak dimanfaatkan langsung. Senario sama membabitkan rakan-rakan CEO tersebut.
Isu brain drain disebabkan penghijrahan profesional dan bakat muda tempatan ke luar negara akan terus berlaku dan bertambah pada masa hadapan, selagi negara tidak mampu mewujudkan lebih banyak peluang untuk mereka.
Tidak dinafikan, banyak pekerjaan terdapat di Malaysia, namun berdasarkan perangkaan dikeluarkan, kebanyakan dalam sektor bukan profesional, dalam kata lain, pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana. Jadi, di mana kedudukan bakat-bakat dan profesional ini sekiranya mereka pulang?
Mengambil kira perang perdagangan yang berlaku sekarang, ia sewajarnya mendorong minat profesional dan bakat tempatan pulang. Perkara ini akan hanya berlaku jika peluang ada dan mereka boleh mengaplikasi ilmu yang ada.
Yulpisman Asli ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan