Agensi bawah MB Selangor yang berikan kelulusan?


Agensi bawah MB Selangor yang berikan kelulusan?

Tragedi Putra Heights
April 6, 2025

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari sewajarnya tampil dengan penjelasan yang bertanggungjawab berkaitan bidang kuasanya terhadap pelbagai persoalan berbangkit atas isu berkaitan tragedi di Putra Heights.

Penganalisis politik, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff bagaimanapun kesal dengan sikap balas Amirudin terhadap pihak yang mengajukan pertikaian kepadanya apabila mendakwa ia sebagai fitnah dan putar belit, selain melabel ‘walaun’.

Sedangkan menurut Nurul Islam, segala diajukan ada fakta dan dokumen rujukan iaitu ‘Garis Panduan Laluan Kemudahan Utiliti dan Penggalian Jalan Negeri Selangor’ dan surat-menyurat Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dengan pemilik projek.

Untuk rekod, KUSEL adalah agensi kerajaan negeri bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI iaitu yang bertanggungjawab membuat prosedur berkaitan antaranya pemetaan utiliti bagi pihak kontraktor.

Setelah menerima bayaran daripada kontraktor, KUSEL akan melantik syarikat berkompeten untuk buatkan pemetaan utiliti di kawasan berkaitan, sebelum akan menyemak, mengulas dan memajukan kepada pihak berkuasa melulus permit kerja.

Dalam konteks kes di Putra Heights yang berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), maka permit dikeluarkan oleh MBSJ iaitu permit korekan atas nama KUSEL sebagai pihak yang memohon.

Selepas itu barulah syarikat kontraktor boleh mulakan kerja-kerja korekan jalan bagi memasang paip kumbahan, namun KUSEL dan MBSJ perlu memantau sekiranya perlu, tetapi dalam kes ini wajiblah dipantau kerana melibatkan kawasan berisiko tinggi.

“Mudahkan, tak boleh jawab kau bakulkan semua yang persoal sebagai ‘walaun’ (penyokong PAS atau Perikatan Nasional). Sedangkan yang persoal Kerajaan Selangor macam-macam pihak. Ada orang politik, ada pakar oil and gas, ada aktivis masyarakat, ada NGO.

“Takkan kau bakulkan semua sebagai ‘walaun’? Lemah betul hujah kau,” bidas Nurul Islam terhadap sikap Amirudin yang terdahulu menyanggah wartawan berkaitan pertanyaan mengenai mesin pengorek di lokasi tragedi tersebut.

Sehubungan itu, Ir Ts Nurul Islam menggesa Dato’ Seri Amirudin selaku Menteri Besar dan pihak bertanggungjawab dalam bidang kuasanya melalui MBSJ dalam meluluskan sesuatu projek di negeri itu untuk menjawab beberapa persoalan.

Soalan kepada Amirudin

“Adakah proses utiliti mapping (UMAP) projek ni dibuat, disemak dan diluluskan KUSEL sebelum permohonan dihantar kepada MBSJ? Adakah MBSJ dan KUSEL membuat pemantauan kerja-kerja pengorekan sepertimana dicadangkan dalam Garis Panduan?

“Adakah terdapat pelanggaran apa-apa aspek terhadap permit korekan dikeluarkan MBSJ? Tempoh masa, kaedah korekan, lokasi korekan? Permit korekan tamat tempoh pada 8 Januari 2025, tetapi kerja masih berjalan hingga sehari sebelum kejadian iaitu 30 Mac 2025.

“Adakah selepas tamat tempoh permit adakah pihak pemilik projek memohon lanjutan kepada KUSEL dan MBSJ? Sekiranya tiada kenapa KUSEL dan MBSJ tidak mengarahkan kerja kerja dihentikan serta merta seperti dalam Garis Panduan mereka?

“Berdasarkan butiran dalam surat KUSEL kepada pemilik projek, kenapa PETRONAS kena beri pampasan dan bukan syarikat kontraktor pemasang paip pembentungan? Apakah KUSEL dan MBSJ sedar ketika permohonan permit korekan, syarikat Pinterest Venture Sdn Bhd dalam ‘Tindakan Tatatertib’ oleh CIDB?

“Bagaimana KUSEL dan MBSJ boleh tetap meluluskan permit kepada syarikat ni untuk membuat kerja korekan di kawasan sensitif berhampiran paip gas PETRONAS?” aju Nurul Islam menggesa Amirudin menjelaskan semua persoalan itu secara tenang.

Ir Ts Nurul Islam berpandangan, tragedi Putra Height itu sepatutnya dapat dielakkan sekiranya agensi Kerajaan Negeri Selangor iaitu MBSJ dan KUSEL melaksanakan kerja mengikut garis panduan mereka sendiri.

Tetapi katanya, apabila ada pelanggaran garis panduan, maka berlakulah kejadian seperti itu, apatah lagi projek dilaksanakan oleh pemaju menerusi kontraktor terbabit dibuat sebelah paip gas PETRONAS yang sangat sensitif.

“Bagi korang mudah faham, pemilik projek ni adalah Hong & Hong Homes Sdn Bhd. Dia adalah pemaju dan perlu melantik sebuah syaikat kontraktor pembinaan yang berdaftar dengan CIDB untuk membina bangunan kedai tersebut. Dalam kes ni dia lantik Pinterest Ventures Sdn Bhd.

“Untuk makluman korang hasil carian dalam laman web CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan), syarikat Pinterest Ventures Sdn Bhd, bernombor pendaftaran PPK 0120190418-SL026335 telah tiga kali dikenakan tindakan tatatertib,” ujarnya.

Syarikat dalam ‘Senarai Hitam’

Beliau menyenaraikan rekod tersebut iaitu ‘Senarai Hitam’ dari 21 September 2021 hingga 21 Jun 2022 dan ‘Tindakan Sekatan’ dari 1 September 2022 hingga 11 November 2022 serta ‘Lain-lain Tindakan’ bermula 29 Ogos 2024 hingga kini.

Bagaimanapun menurut Nurul Islam, MBSJ meluluskan Permit Korekan Untuk Paip Pembentungan kepada Pinterest yang diperolehi syarikat itu pada 4 Oktober 2024 iaitu ketika masih berada dalam ‘Senarai Hitam’.

“Antara syarat permohonan permit korekan kepada KUSEL dan MBSJ adalah menghantar salinan terkini sijil CIDB. Persoalannya bagaimana MBSJ dan KUSEL boleh tak perasan perkara ni dan meluluskan syarikat yang dalam tindakan tatatertib untuk buat kerja dekat dengan paip gas PETRONAS?

“Takkan pegawai kat KUSEL dan MBSJ tak buat carian CIDB masa nak luluskan? Projek di kawasan high-risk tetapi syarikat yang dalam senarai hitam CIDB dapat kelulusan. Now Amirudin Shaari, dah puas main tiktok, dah puas beraya kan?

“Sekarang jawab segera. Rakyat nak tahu. Tahi siapa ni? KUSEL? MBSJ? Jangan kau cakap salah PETRONAS pula!” gesa Nurul Islam lagi. – HARAKAHDAILY 6/4/2025

Ulasan