Aidilfitri BAKIP disambut meriah di Jalan Raja Laut


Aidilfitri BAKIP disambut meriah di Jalan Raja Laut
April 11, 2025

KUALA LUMPUR: Meskipun Syawal sudah masuk minggu yang kedua, kemeriahan Aidilftri masih dirasai menerusi Majlis Jamuan Hari Raya anjuran Badan Kebajikan Kakitangan PAS (BAKIP) di Pejabat Agung PAS, di sini hari ini.

Majlis yang bermula jam 10 pagi itu diserikan dengan kehadiran Penolong Setiausaha Agung PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Yang Dipertua BAKIP, Taufik Ramli.

Hadir sama kakitangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dewan Ulamak PAS Pusat, Assabiqun, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) serta Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM).

Khairul Faizi dalam ucapan perasmiannya menzahirkan harapan agar bulan Syawal ini tidak dijadikan sebagai bulan untuk rakyat meninggalkan segala amalan baik telah dilakukan pada Ramadan lalu.

“Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan, kita mengadakan banyak amalan-amalan yang baik seperti tadarus dan sebagainya. Jadi jangan sampai masuk bulan raya ini kita lupa segala-galanya.

“Kalau dulu berpuasa kita hilang lima ke enam kilogram, jangan kita naik raya belum cukup sebulan, kita dah naik 10 kilogram. Maknanya kita juga kena kawal makanan kita.

“Semoga segala amal-amal yang telah kita lakukan sepanjang kita berada di bulan ramadan ini dapat kita teruskan. Mudah-mudahan kita dapat menjadi contoh kepada keluarga dan juga masyarakat di atas amalan-amalan yang kita lakukan,” katanya.

Antara juadah yang disajikan dalam jamuan itu ialah nasi minyak, soto, lemang, laksam, kuih-muih tradisional selain aneka kek sebagai pencuci mulut. – HARAKAHDAILY 11/4/2025

Ulasan