AIREI lancar kilang sawit pintar AI, atasi cabaran dalam industri


AIREI lancar kilang sawit pintar AI, atasi cabaran dalam industri
SURENDRAN KURANADAN
Oleh HENDRA WINARNO
7 April 2025, 8:26 am

KUALA LUMPUR: AIREI Sdn. Bhd. memperkenalkan kilang sawit pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) pertama di dunia yang dilancarkan di Minsawi Industries, Kuala Kangsar bagi menangani cabaran utama industri sawit termasuk kebergantungan kepada tenaga buruh, kenaikan kos, ketidakcekapan operasi dan isu alam sekitar.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surendran Kuranadan berkata, kilang itu dibangunkan menerusi platform MyPalm yang menggabungkan penderia pintar, sistem kawalan automatik, penyelenggaraan ramalan serta kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan AI bagi merevolusikan operasi sawit.

“MyPalm mengintegrasikan empat elemen utama iaitu penderia pintar yang memantau suhu, tekanan dan prestasi mesin secara masa nyata, CCTV AI untuk mengesan kelainan.

“Ia juga untuk menambah baik kawalan kualiti, sistem kawalan automatik yang mengoptimumkan operasi dan penyelenggaraan ramalan bagi mengurangkan tempoh henti mesin serta meningkatkan kecekapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, automasi dalam kilang itu berupaya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja sebanyak 35 peratus pada peringkat awal.

“Ini membolehkan tenaga kerja fokus kepada tugasan lebih berkemahiran tinggi serta meningkatkan produktiviti keseluruhan. Kelestarian juga menjadi fokus utama dalam misi AIREI.

“Dengan memanfaatkan teknologi AI dan automasi, syarikat berusaha mengurangkan kesan alam sekitar dalam pengeluaran sawit menerusi penyelesaian tenaga yang lebih cekap, pengoptimuman penggunaan sumber serta peningkatan ketelusan dalam rantaian bekalan.

“Selain itu, kami turut bekerjasama dengan Fine Instrument Technology (FIT) melalui integrasi teknologi resonans magnetik SpecFIT ke dalam MyPalm, yang membantu meningkatkan ketepatan dalam penjejakan dan kecekapan operasi.

“Pelancaran ini menjadi titik perubahan untuk industri agar lebih bersedia menerima perubahan dan kita dapat meningkatkan kecekapan, menambah baik kawalan kualiti serta memperkukuh kelestarian dalam industri sawit,” katanya.-UTUSAN

Ulasan