
Ambil tindakan tegas, Jalur Gemilang bukan 'uji kaji grafik'
April 18, 2025 @ 7:31am
Titah tegas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini tidak boleh diterima, hakikatnya mewakili seluruh rakyat yang memiliki semangat patriotisme dan cintakan tanah air.
Bendera bukan sekadar kain dengan warna dan corak tertentu, sebaliknya lambang kedaulatan negara, maruah bangsa dan semangat perjuangan yang diwariskan sejak detik pertama ia dinaikkan dan dikibarkan.
Tidak ada alasan kepada mana-mana individu mahupun entiti untuk melakukan kesilapan fatal dalam menghasilkan ilustrasi Jalur Gemilang, apatah lagi membabitkan simbol yang sangat ketara seperti bulan sabit yang menjadi lambang kepada Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Setiap warga negara pastinya sudah diperkenalkan dengan Jalur Gemilang, sama ada secara rasmi dalam sistem pendidikan dilalui, bermula prasekolah dan sekolah rendah, mahupun secara tidak rasmi kerana bendera Malaysia dikibarkan dengan megah setiap hari di setiap pelosok negara.
Lebih parah, selang sehari selepas akhbar Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapannya, Kwong Wah Yit Poh pula menyiarkan gambar bendera Malaysia tidak lengkap di akaun Facebook rasminya hingga menimbulkan persoalan, apakah Jalur Gemilang menjadi bahan uji kaji grafik kepada sebahagian bilik berita?
Alasan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan bukan free jail card untuk melepaskan tanggungjawab kerana media seperti akhbar, bukan organisasi biasa, sebaliknya ketepatan dan kebenaran menjadi pasak kepada gerak kerja mereka hingga setiap inci kandungan mesti diteliti, disemak dan disahkan sebelum diterbitkan.
Kita mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyiasat kesalahan yang boleh diibaratkan 'siang bagai hari, terang bagai bulan', sekali gus mengambil tindakan tegas sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak gagal menjaga sensitiviti nasional.
Kebebasan media datang dengan tanggungjawab yang paling asasnya adalah berkait kepentingan negara, termasuk simbol yang melambangkan maruah serta kedaulatan tanah air.
Kita juga mengingatkan organisasi dan syarikat media, sama ada konvensional seperti akhbar, televisyen serta radio mahupun media digital dengan pelbagai platform, termasuk media sosial agar memastikan garis panduan editorial, terutama membabitkan penggunaan simbol penting negara tidak 'mengizinkan' sebarang kesilapan.
Tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan kepada pereka grafik semata-mata, sebaliknya perlu ditaklifkan secara kolektif kepada sidang editorial. Kedua-dua insiden ini memberi pengajaran sangat penting kepada semua, terutama media bahawa Malaysia tidak kekurangan tenaga profesional dalam bidang itu.
Yang kurang, barangkali ialah rasa hormat dan cinta kepada negara sebenar-benarnya hingga kecuaian membabitkan lambang negara boleh berlaku. Jalur Gemilang adalah milik seluruh rakyat Malaysia hingga kewajipan memelihara martabatnya menjadi tanggungjawab bersama, apatah lagi bagi individu atau entiti yang saban hari menggenggam kuasa pena dan suara.
Ulasan
Catat Ulasan