Ancaman tarif Trump – masa untuk Kesatuan ASEAN
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
14 April 2025, 7:15 am
Dua minggu ini dunia bercelaru berikutan keputusan satu manusia – Donald Trump. Satu hari dia mengenakan tarif. Kerana kemarahan terhadap China yang mengeksport produk bernilai lebih AS$450 billion ke Amerika Syarikat, Trump mengenakan tarif lebih 100 peratus untuk semua produk dari ekonomi kedua terbesar dunia itu.
China bertindak balas dan mengenakan tarif sama banyak. Perang kini antara dua ekonomi terbesar dunia. Tarif besar kepada lebih 90 negara ditangguhkan tiga bulan, memberikan kelegaan sementara termasuk Malaysia. Trump berkata ancaman tarif dikenakan berjaya kerana banyak negara menyatakan minat berunding dan telah “kiss my ass.”
Dalam kekeliruan itu, pasaran saham Amerika Syarikat jatuh lebih 2,000 mata kemudian melonjak hampir 3,000 mata. Kemudian jatuh semula lebih 1,000 mata. Begitu juga pasaran saham di seluruh dunia. Jika Trump bermain saham dan tahu apa akan diumumkan, dia dan sekutunya pasti meraih ratusan juta dolar.
Sejak keputusan Trump mengenakan tarif, pelbagai cadangan dilontarkan terutama meminta Malaysia mencari pasaran baru, tidak bergantung kepada Amerika Syarikat, dan melaksanakan strategi baru perdagangan.
Dengan Amerika Syarikat menjadikan tarif sebagai senjata terutama kepada ASEAN, pakatan negara-negara di Asia Tenggara ini harus sedar rantau ini tidak lebih daripada “production line” murah untuk keperluan barat terutama untuk mengkayakan Amerika Syarikat.
Asia Tenggara menyediakan tenaga buruh murah pada kadar kurang daripada 10 peratus berbanding kos mengeluarkan produk sama di Amerika Syarikat. Malah dakwaan imbangan dagangan Malaysia tidak menguntungkan Amerika Syarikat sehingga dikenakan tarif 24% tersasar. Apa yang dikira hanya eksport. Tiada siapa mengira keuntungan diraih semua francais makanan segera dan syarikat Amerika Syarikat yang beroperasi di Malaysia. Semua keuntungan disalurkan ke Amerika Syarikat. Bagaimana pula wang diraih syarikat teknologi seperti Google, Meta dan Twitter dari operasi di Malaysia? Jangan lupa setiap lesen Microsoft Windows dalam setiap komputer, wang itu pergi kepada syarikat Amerika Syarikat.
Bagaimana ASEAN dapat menangani ancaman Amerika Syarikat atau mana-mana ekonomi besar. Sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin ASEAN menetapkan hala tuju untuk mewujudkan Kesatuan ASEAN seperti Kesatuan Eropah.
Ada akan menyatakan perkara itu tidak mungkin. ASEAN mempunyai saiz penduduk. Keseluruhan negara ASEAN mempunyai 695 juta penduduk. Kesatuan Eropah (EU) hanya ada 449.2 juta manusia. Amerika Syarikat ada 340 juta penduduk. ASEAN mempunyai lebih ramai penduduk berbanding EU dan Amerika Syarikat. Itu sudah menjadi pasaran yang cukup besar.
ASEAN boleh bermula dengan memulakan pembukaan pasaran tanpa tarif atau tarif paling rendah bagi pergerakan produk di rantau ini. Seperti EU, rakyat di rantau ini harus dapat bergerak dengan mudah sama ada bagi tujuan perdagangan atau pelancongan.
Mungkin ia boleh bermula antara dua ekonomi yang hampir sama besar seperti Malaysia dan Thailand. Satu hari nanti, ketika semua negara semakin maju, Kesatuan ASEAN dapat diwujudkan. Mungkin mata wang ASEAN dolar diperkenalkan. Pada ketika itu, tiada siapa dapat memijak Malaysia atau ASEAN. Dengan pasaran 700 juta orang, ASEAN dapat menentukan hala tujunya sendiri. Kita boleh berdiam diri dan terus mengadu atau melakukan sesuatu. – UTUSAN
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.
Ulasan
Catat Ulasan