
AS kenakan tarif 104 peratus ke atas China
09 April 2025 07:39am
Masa membaca: 3 minit
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif mengejut sebanyak 104 peratus ke atas semua barangan import dari China berkuat kuasa hari ini (Rabu), umum Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt pada Selasa.
Ini merupakan tambahan kepada tarif sedia ada terhadap China sebelum penggal kedua Trump bermula.
China pada asalnya dijangka menghadapi kenaikan tarif sebanyak 34 peratus pada Rabu sebagai sebahagian daripada pakej tarif 'timbal balik' Trump.
Bagaimanapun, Presiden Trump menambah lagi 50 peratus selepas Beijing tidak menarik balik janjinya untuk mengenakan tarif balas sebanyak 34 peratus ke atas barangan AS sebelum tengah hari Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan tambahan tarif kepada 84 peratus.
Pada awal Selasa, Kementerian Perdagangan China menyatakan mereka “tegas menentang” tambahan tarif 50 peratus terhadap import China dan menyifatkannya sebagai “satu kesilapan di atas kesilapan.”
Kementerian itu berikrar akan meningkatkan tindakan balas mereka terhadap eksport AS.
Pasaran saham AS, yang melonjak pada pagi Selasa mula menurun selepas kenyataan Leavitt.
Menjelang jam 3 petang waktu Timur, indeks Dow Jones, Nasdaq dan S&P 500 semuanya berada dalam zon negatif.
“Negara seperti China yang memilih untuk membalas dan menggandakan layanan buruk mereka terhadap pekerja Amerika, sedang melakukan kesilapan,” kata Leavitt kepada wartawan.
“Presiden Trump memiliki keteguhan yang luar biasa dan beliau tidak akan berundur.”
“China mahu membuat perjanjian, cuma mereka tidak tahu bagaimana,” tambahnya lagi.
Beliau juga enggan berkongsi sebarang syarat yang mungkin akan dipertimbangkan oleh Trump untuk menurunkan tarif ke atas China.
Trump pada asalnya mengenakan tarif 10 peratus ke atas semua barangan dari China pada bulan Februari, tanpa sebarang pengecualian dengan alasan penglibatan negara itu dalam membantu imigresen haram dan penyeludupan fentanyl ke AS.
Bulan lalu, beliau menggandakan kadar tarif tersebut.
China merupakan sumber import kedua terbesar AS tahun lalu, menghantar barangan bernilai AS$439 bilion ke negara itu.
AS pula mengeksport barangan bernilai AS$144 bilion ke China.
Tarif balas ini dijangka memberi kesan negatif kepada industri dalam negara dan boleh mengakibatkan pemberhentian pekerja.
Ketika penggal pertama Trump berakhir, AS mengenakan kadar tarif purata sebanyak 19.3% ke atas barangan dari China, menurut analisis Institut Peterson untuk Ekonomi Antarabangsa.
Pentadbiran Presiden AS sebelum ini, Joe Biden mengekalkan sebahagian besar tarif Trump dan menambah lagi, menjadikan kadar purata kepada 20.8 peratus.
Menjelang esok (Rabu), jumlah purata tarif ke atas eksport China ke AS dijangka melonjak hampir kepada 125 peratus.
Walaupun pusingan tarif terdahulu menyebabkan lebih banyak syarikat AS mencari negara alternatif seperti Mexico dan Vietnam untuk pengilangan, China masih kekal sebagai sumber utama bagi beberapa barangan.
Ini termasuk antara lain, mainan, peralatan komunikasi seperti telefon pintar, komputer dan pelbagai jenis elektronik pengguna.
Semua barangan ini dijangka akan menjadi jauh lebih mahal bagi pengguna AS tidak lama lagi.
Puluhan negara lain juga dijangka hadapi kenaikan tarif
Sementara itu, dalam perkembangan sama, puluhan negara lain termasuk Kesatuan Eropah (EU) turut menghadapi tarikh akhir tengah malam bagi kadar tarif baharu.
Kadar tarif tersebut, yang diumumkan Trump minggu lalu, berada dalam lingkungan 11 hingga 50 peratus.
Leavitt memberitahu wartawan, walaupun terdapat beberapa perbincangan dengan pemimpin dunia bagi merundingkan kadar tarif yang lebih rendah, Trump tidak berminat untuk menangguhkan rancangannya.
Selepas bercakap dengan Trump pada awal Selasa, Leavitt berkata: “Beliau (Trump) menjangkakan tarif-tarif ini akan dikuatkuasakan.”
Pada masa sama, beliau berkata, Trump mengarahkan pasukan perdagangannya untuk merangka perjanjian yang “mengikut kesesuaian” dengan negara-negara yang ingin berunding.
Apabila ditanya sama ada Presiden AS mempunyai garis masa atau tarikh akhir untuk perjanjian perdagangan itu, Leavitt sekali lagi menegaskan ia tidak akan menjadi “perjanjian siap sedia.” - Agensi/ Awani
Ulasan
Catat Ulasan