'Awak buli, awak dibuang!'




'Awak buli, awak dibuang!'

07 April 2025 02:47pm
Masa membaca: 2 minit


Tangkap layar rakaman video tular menunjukkan dua remaja didakwa membuli seorang pelajar dipercayai berlaku di sebuah MRSM di Pulau Pinang.

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan berlaku kejadian buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan mana-mana pelajar MRSM yang melakukan perbuatan itu.

"Saya sudah minta pegawai saya siasat segera jika benar peristiwa ini berlaku di MRSM. Jika benar pelajar-pelajar ini adalah pelajar MRSM, tiada kompromi lagi, tindakan tegas pasti akan diambil," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau memuat naik hantaran tersebut susulan tular satu video di Facebook yang melahirkan kebimbangan mengenai berlaku kes buli di sebuah MRSM di sebuah negeri di Utara Semenanjung tanah air.

Mengulas lanjut mengenainya Asyraf Wajdi berkata, beliau telah berulang kali mengingatkan bahawa pelajar yang melakukan perbuatan buli akan berdepan tindakan dibuang dari institusi pendidikan tersebut.

"‘You touch you go!’ (Awak buli, awak dibuang!). Tiada tempat untuk pembuli atau yang cuba membudayakan ‘buli’ dalam apa jua bentuk di MRSM," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit 31 saat memaparkan beberapa pelajar didakwa memijak, duduk dan menekup bantal pada seorang pelajar lain.

Lebih mengejutkan, mereka menggunakan tali pinggang untuk mengikatkan kakinya, bagaimanapun remaja lelaki terbabit dilihat tidak melawan.


Menerusi Facebook Utara Kini, ada individu mempersoalkan sama ada perbuatan terbabit adalah buli ataupun melawak kasar.

Ulasan