
Ayer Kuning: Calon PN mampu buat kejutan?
24 April 2025 10:42am
Masa membaca: 4 minit
Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pula berusaha memenangi PRK ini untuk memberi mesej bahawa mereka bersedia dan berupaya mengambil alih pentadbiran baik di peringkat negeri mahupun pusat. Gambar kecil: Mukhtaruddin
TEMPOH sah Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan berakhir pada 2027, dan Disember ini genap tiga tahun selepas Pilihan Raya Negeri Perak diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Parlimen pada 19 November 2022.
Berdasarkan Perkara 19(5) Perlembagaan Negeri Perak, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun terakhir tempoh sah DUN.
Ini memberi andaian bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning pada 26 April ini mungkin yang terakhir di negeri Perak.
Maka, setiap parti politik yang bertanding bekerja keras mengambil peluang di Ayer Kuning untuk menyampaikan mesej serta menunjukkan kekuatan dan pengaruh semasa kepada rakyat tempatan dan negara.
Dalam keadaan politik Malaysia dan Perak pada masa sekarang, Barisan Nasional (BN) serta sekutunya, Pakatan Harapan (PH), yang membentuk kerajaan perpaduan, harus memenangi PRK ini sebagai testimoni kepada pemerintahannya.
Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pula berusaha memenangi PRK ini untuk memberi mesej bahawa mereka bersedia dan berupaya mengambil alih pentadbiran baik di peringkat negeri mahupun pusat.
Masing-masing mempertaruhkan calon yang difikirkan mampu membantu untuk mencapai kemenangan.
Tidak dapat dinafikan, dalam mana-mana pilihan raya, faktor calon juga menjadi penyumbang kepada kemenangan, di samping kekuatan parti yang tetap merupakan faktor utama kepada kemenangan sesuatu pilihan raya.
Justeru, semua pihak meletakkan calon yang diyakini boleh menarik sokongan, khususnya daripada pengundi atas pagar atau yang tidak berparti.
Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir, Abd Muhaimin Malek yang mewakili PN, dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). Mereka akan bertembung untuk menentukan siapa yang berjaya memenangi hati rakyat yang keluar mengundi.
Secara umumnya, setiap parti masih meletakkan latar belakang pendidikan calon sebagai kriteria untuk menarik minat pengundi.
BN meletakkan calonnya yang berkelulusan Doktor Falsafah, manakala PN dan PSM masing-masing meletakkan calon mereka yang mempunyai ijazah sarjana muda.
Perang calon bermula seawal pengumuman rasmi calon oleh kesemua parti yang bertanding.
PN mendakwa calon BN telah melanggar larangan kepada penjawat awam apabila profil calon ketika diumumkan menunjukkan bahawa beliau memegang jawatan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah ketika masih menjawat pensyarah di Institut Pendidikan Guru pada 2020.
Tindakan beliau dilihat jelas bercanggah dengan Pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia 2023 dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], iaitu peraturan 4(1) dan 4(2) yang melarang penglibatan aktif penjawat awam dalam politik kepartian.
Bagi rakyat, pelanggaran undang-undang atau ketetapan kerajaan kepada penjawat awam memberi gambaran bahawa calon adalah seorang yang tidak berintegriti dan tidak patuh kepada arahan serta undang-undang sedia ada.
Jika ini yang ditunjukkan, rakyat pasti tertanya-tanya apakah beliau akan mematuhi peraturan jika terpilih menjadi wakil rakyat.
Pengundi juga akan mempersoalkan adakah kerajaan akan bersikap "pejam mata" kepada mereka yang berpihak kepada kerajaan jika terdapat pelanggaran undang-undang.
Sebagai tindak balas, BN-PH cuba mencalar imej integriti calon PN dengan mendakwa beliau tidak memiliki tauliah untuk mengajar agama di masjid dan surau.
Namun, dakwaan ini segera disangkal oleh calon PN sendiri yang menyatakan bahawa beliau mempunyai tauliah sejak 2014.
Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesahkan kenyataan calon PN dan menyerahkan kes pentauliahan ini kepada Majlis Agama Islam Perak.
Mungkin cubaan untuk mencalarkan imej ini dibuat selepas PN mempertaruhkan calon anak tempatan. Penguasaan calon PN yang tahu selok-belok keadaan setempat dan dikenali masyarakat dalam DUN Ayer Kuning memberikan kelebihan awal kepada beliau.
Ini dibuktikan seawal pengisytiharan calon, di mana beliau mampu menyebut dengan lancar serta mengenal pasti setiap pelusuk tempat daerah mengundi dan kampung yang terdapat di dalam DUN Ayer Kuning.
Semenjak kerajaan perpaduan terbentuk, PN cuba membawa imej UMNO yang menjadi komponen utama BN sebagai boneka.
Walaupun Kerajaan Perak diketuai oleh Menteri Besarnya yang datang dari UMNO, namun umum mengetahui UMNO bukanlah parti dominan dalam kerajaan Perak.
BN mempunyai lapan kerusi, iaitu tujuh dari UMNO dan satu dari MCA, berbanding DAP yang mempunyai lapan belas kerusi, yang merupakan majoriti dari dua puluh empat kerusi yang dimenangi oleh PH.
Ini berlawanan dengan PN yang mempunyai dua puluh enam kerusi dengan Pas memperolehi tujuh belas dan Bersatu sembilan. Maka persepsi bahawa UMNO adalah parti minoriti dalam kerajaan perpaduan tidak dapat dinafikan.
Tanggapan bahawa UMNO memerlukan “restu” DAP di Perak semacam ada kebenarannya jika dilihat kepada pelbagai isu yang melanda kerajaan negeri.
Malahan, video yang tular ketika ini yang menampilkan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, bersama beberapa orang jentera BN melaungkan istilah “UMDAP Mantap” semacam menampakkan penafian Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda UMNO yang menyatakan UMDAP tidak wujud hanya sekadar kenyataan lucu.
Perlu diingat, tanpa isu-isu tempatan yang hangat berbanding di Ayer Kuning pun, calon PH dalam PRK Sungai Bakap, Dr. Joohari Ariffin, tewas dengan majoriti 4267 undi berbanding majoriti lebih rendah 1563 undi calon PH tewas dalam PRN Pulau Pinang pada Ogos 2023.
Oleh itu, berdasarkan keputusan PRK Sungai Bakap yang mempunyai demografi pengundi yang hampir sama dengan di Ayer Kuning, di mana calon PN yang lebih dekat dengan masyarakat tempatan telah berjaya menewaskan calon PH yang memiliki latar belakang pendidikan lebih tinggi ini maka peluang bagi calon PN untuk membuat kejutan dengan memenangi PRK Ayer Kuning tidak boleh dipandang rendah.
* Dr Mukhtaruddin Musa ialah Pengarah Urusan Yayasan Strategik Lestari (YSL).
Ulasan
Catat Ulasan