

Berita
Bagaimana keputusan pemilihan cabang PKR jejas Rafizi
Diterbitkan: Apr 23, 2025 10:52 AMPemilihan PKR peringkat cabang baru-baru memberi tamparan hebat kepada kem timbalan presiden Rafizi Ramli, dengan beberapa sekutu utamanya tewas - menandakan pertarungan sengit bakal berlaku dalam pemilihan pimpinan pusat parti bulan depan.
Keputusan itu lebih daripada sekadar simbolik. Disebabkan perubahan dalam sistem pemilihan parti, keputusan pemilihan cabang ini secara langsung akan membentuk undi kepimpinan peringkat pusat.
PKR kerap mengubah peraturan pilihan raya dalamannya. Kali ini, ia telah mengembalikan semula sistem perwakilan, di mana kira-kira 30,000 perwakilan dari 222 bahagian di seluruh negara akan mengundi untuk memilih 20 ahli majlis pimpinan pusat (MPP) dan enam jawatan tertinggi: presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden.
Perkara yang merumitkan lagi ialah bagaimana perwakilan ini dipilih.
Malaysiakini difahamkan bahawa Perwakilan Kongres Nasional akan merangkumi pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, semua ahli MPP, dan wakil dari setiap cabang: 46 perwakilan jawatankuasa, 40 perwakilan biasa, dan beberapa perwakilan tambahan.
46 perwakilan jawatankuasa diambil dari badan utama dan dua sayap setiap cabang - sayap belia, dan sayap wanita. Sementara itu, perwakilan biasa dan tambahan dicalonkan oleh calon pengerusi cabang, mengikut kadar undi yang mereka terima.
Mana-mana calon ketua cabang yang memperoleh sekurang-kurangnya 15 peratus undi berhak mencalonkan perwakilan biasa dan/atau tambahan berdasarkan bahagian undi mereka. Undi untuk calon yang meraih undi di bawah ambang ini diagihkan semula secara berkadar di kalangan mereka yang melepasinya.
Contohnya, jika calon A memperoleh 50 peratus, calon B 40 peratus dan calon C hanya 10 peratus, undi C akan "disimbangkan semula" kepada A dan B. A kemudiannya akan memegang 55 peratus dan B 45 peratus daripada hak pencalonan perwakilan.
Kuota perwakilan tambahan terikat dengan saiz keahlian bahagian. Bahagian yang mempunyai 3,000 hingga 4,000 ahli, misalnya, boleh mencalonkan 10 perwakilan tambahan, manakala yang mempunyai lebih 9,000 ahli mendapat sehingga 70.
Mekanisme ini bermakna keputusan pemilhan cabang secara langsung mempengaruhi bilangan perwakilan pusat yang boleh dicalonkan oleh setiap kem - dan seterusnya, pengaruh mereka dalam perlumbaan kepimpinan pusat.
Dakwaan penyelewengan
Pusingan akhir pemilihan cabang berakhir pada 20 April lalu. Antara sekutu Rafizi yang kalah ialah naib presiden merangkap Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Walau bagaimanapun, bukan hanya sekutu Rafizi yang tewas. Profil tinggi lain yang tewas termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, Adun Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin, dan penyandang ketua cabang Alor Gajah Ginie Lim.
Keputusan pemilihan cabang mencetuskan dakwaan penyelewengan, terutamanya melibatkan sistem pengundian elektronik parti.

Najib Bakar, pembantu kepada Rafizi di Kementerian Ekonomi, mendakwa di Facebook bahawa sistem itu mungkin telah dimanipulasi.
"Apa isu yang banyak terjadi sekarang seperti yang dilapor media? 'Fenomena badan tanpa kepala.' Banyak keputusan cabang yang keluar tidak konsisten nombornya.
"Kalau cuma satu-dua cabang, ya mungkin kita boleh anggap pegundi-pengundi memboikot calon ketua cabang tertentu. Tapi kalau lebih berpuluh-puluh cabang? Tidakkah ia satu pattern yang pelik?
"Bila terjadi perkara sebegini, cabang-cabang itu sukar untuk bekerja sebagai satu pasukan, dan kemungkinan ada pertembungan idea yang boleh mengakibatkan ketegangan," katanya dalam catatan di Facebook, semalam.
Memetik pengalaman kerjayanya dalam bidang IT, Najib berkata juruaudit luar boleh mewujudkan jenis sistem dalam talian sebenar yang digunakan - tradisional (client server architecture)atau rantaian blok (blockchain) - dan menyemak integriti input data.
"Kalau diberi pilihan, sebagai orang IT, aku memang pro e-voting
Dengan syarat, sesebuah sistem itu dibina dengan ada check and balance yang baik, ada mitigasi risiko, dan tiada seorang pun yang memegang kunci utama.
"Untuk sistem e-voting yang boleh menentukan jatuh bangun sesebuah negara, tanpa struktur governance yang mantap, ia senang dimanipulasi. Siapa the weakest link dalam pembangunan sesebuah sistem yang penting? Manusia.
"Sama ada diumpan dengan imbuhan atau ditekan dengan ugutan, pengakhirannya hanya satu," katanya.
Najib, yang sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan ketua cabang Titiwangsa dan kini penjawat awam, tidak bertanding pemilihan kali ini.
Beberapa penyokong Rafizi memberitahu Malaysiakini bahawa mereka mengesyaki "tangan ghaib sedang berusaha untuk menjejaskan pengaruh Rafizi, mungkin bersiap sedia untuk mencabar dia atau sekutunya - termasuk Nik Nazmi dan Chang Lih Kang - apabila pencalonan dibuka pada 3 Mei.
Malaysiakini tidak boleh mengesahkan dakwaan ini secara bebas maka tidak mendedahkan nama pihak yang dituduh.
Integriti sistem e-undi
Bagaimanapun, kebanyakan dalam kem Rafizi tidak percaya Presiden PKR dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terlibat.
Najib malah mencadangkan bahawa pendirian kuat Anwar terhadap Palestin mungkin telah menjadikannya sasaran "kumpulan tertentu" yang berniat untuk menggugat kestabilan PKR.

Seorang ahli kumpulan Rafizi, bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan, memberi amaran bahawa keputusan "badan tanpa kepala" bukan sahaja boleh memberi kesan kepada pilihan raya pusat tetapi juga mengganggu cara parti berfungsi di peringkat cabang.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Dr Zaliha Mustafa dan beberapa ahli jawatankuasa tidak menjawab pertanyaan mengenai perkara ini.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan satu mesyuarat akan diadakan pada 23 April (hari ini) atas permintaan lebih 20 ahli MPP, jauh melebihi keperluan satu pertiga untuk mengadakan mesyuarat, bagi menangani kebimbangan ini.
Sumber parti berkata PKR menyumber luar proses pemilihannya kepada tiga vendor berasingan: satu untuk aplikasi e-undi, satu lagi untuk pengesahan ID digital dan satu pertiga untuk pengauditan.
Walaupun PKR menggunakan sistem e-undi, ahli tanpa akses internet atau berumur 60 tahun ke atas masih boleh mengundi secara manual.
Sementara itu, pemimpin lain menolak dakwaan itu.
Ketua Cabang Titiwangsa Syed Badli Shah Syed Osman, dalam satu kenyataan pada 21 April, berkata sistem itu selamat dan sukar diceroboh. Dia menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan menggesa ahli supaya menghormati proses demokrasi.
Bekas ahli parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid, yang kalah dalam saingan di kawasan itu, berkongsi sentimen sama, dengan berakata "Kemenangan dan kekalahan adalah sebahagian daripada politik. Saya tidak percaya kepada apa yang dipanggil tangan ghaib."
Pemimpin veteran Hassan Abdul Karim berkata keputusan itu mencerminkan penolakan akar umbi terhadap elitis politik dan "politik kartel".
“Ramai pemimpin yang menang di bawah Ayuh Malaysia pada 2022 kalah kali ini — kepada ahli biasa yang bukan menteri atau ahli parlimen,” katanya merujuk kepada gerakan yang diketuai oleh Rafizi.
Timbalan Ketua Penerangan PKR R Ramanan - yang memenangi jawatan ketua cabang Sungai Buloh tanpa bertanding - menambah keputusan mengejutkan adalah perkara biasa dalam pemilihan dan menggesa ahli menggunakan saluran rasmi untuk merayu
Ulasan
Catat Ulasan