

Berita
Bekas setiausaha perbendaharaan AS ramal kemelesetan, 2 juta pekerja dipecat
Bekas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Lawrence Summers meramalkan negara itu berdepan kemelesetan ekonomi, dengan kemungkinan dua juta rakyat Amerika kehilangan pekerjaan susulan kenaikan tarif yang sedang dilaksanakan.
Dalam temu bual bersama Bloomberg TV pada Selasa, Summers berkata AS berkemungkinan besar akan mengalami kemelesetan, sekali gus menyaksikan tambahan dua juta individu menganggur, lapor Xinhua.
“Kemungkinan besar kita akan berdepan kemelesetan - dan dalam konteks kemelesetan itu, kita akan melihat tambahan dua juta orang kehilangan pekerjaan,” kata Summers dalam rancangan Wall Street Week di Bloomberg Television.
“Kita juga akan menyaksikan kerugian pendapatan isi rumah sekitar US$5,000 atau lebih bagi setiap keluarga,” tambah Summers, yang juga profesor di Universiti Harvard dan penyumbang berbayar di Bloomberg TV.
Summers berpendapat rancangan tarif pentadbiran Trump melebihi dasar tarif pada 1930 yang “menjadikan kemelesetan ketika itu lebih teruk,” sambil menyatakan adalah lebih baik untuk menarik balik dasar-dasar yang telah diumumkan itu.
Bagaimanapun, meskipun menerima amaran daripada Summers dan beberapa ahli ekonomi lain, Rumah Putih pada Selasa menyatakan dasar tersebut akan tetap dilaksanakan seperti dirancang.
“Presiden telah ditanya dan menjawab perkara ini semalam. Beliau berkata tidak mempertimbangkan sebarang lanjutan atau penangguhan. Saya bercakap dengan beliau sebelum sidang media ini. Itu bukan pendiriannya. Beliau menjangkakan tarif ini akan tetap dilaksanakan,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt pada sidang media.
Pada 2 April lepas, Presiden AS Donald Trump menandatangani perintah eksekutif berkaitan tarif ‘timbal balik’, mengumumkan bahawa AS akan mengenakan ‘tarif asas’ sebanyak 10 peratus ke atas rakan dagang, selain tarif lebih tinggi terhadap beberapa rakan dagang tertentu - ada yang mencecah lebih 30 peratus dan bahkan 40 peratus.
Tarif asas 10 peratus itu telah berkuat kuasa pada 5 April, manakala tarif lebih tinggi terhadap rakan dagang tertentu dijadual berkuat kuasa pada Rabu, 9 April.
Meskipun Trump berulang kali mendakwa bahawa kenaikan tarif itu akan membantu meningkatkan hasil kerajaan AS, mengurangkan defisit dagangan dan merancakkan semula sektor perkilangan Amerika, ahli ekonomi dan pemimpin perniagaan memberi amaran bahawa langkah tersebut akan meningkatkan harga barangan, membebankan pengguna dan perniagaan Amerika, mengganggu perdagangan global serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia.
Beberapa rakan dagang AS juga telah mengumumkan langkah balas terhadap tarif itu.
- Bernama
Ulasan
Catat Ulasan