Cabar Rafizi: Jangan letak perkataan itu di mulut saya, kata Saifuddin



Berita
Cabar Rafizi: Jangan letak perkataan itu di mulut saya, kata Saifuddin

Diterbitkan: Apr 22, 2025 11:48 AM
Dikemaskini: 1:23 PM

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi bahawa dia akan menentang Rafizi Ramli, pada gelanggang pemilihan PKR bagi penggal ini untuk jawatan timbalan presiden parti.

Sebelum ini, ada penganalisis yang berpendapat keputusan di 222 cabang PKR yang menyaksikan ramai penyokong Rafizi tewas memberi petunjuk kepada Saifuddin untuk mencabar timbalan presiden itu sekali.

Saifuddin Nasution Ismail

"Kalau saya (tetapkan) saya panggil sidang media.... jangan letakkan perkataan itu di mulut saya (soal mempertimbangkan bertanding)... masih ada dua tiga proses lagi," katanya pada sidang media, selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Putrajaya, hari ini.

Menteri itu berkata, dia mengadakan pertemuan tertutup dengan Rafizi di pejabat timbalan presiden tersebut semalam bagi membincangkan peranan masing-masing dalam memperkukuhkan parti.

“Saya sedar terdapat pandangan daripada beberapa pihak yang menyatakan sudah sampai masanya untuk saya membuat pengumuman berhubung perkara ini.

“Namun saya belum membuat sebarang ketetapan sama ada untuk bertanding atau tidak,” katanya.

Saifuddin menjelaskan dia dan Rafizi saling berterus terang dalam pertemuan mereka dan komited untuk terus bekerjasama memperkukuh kepimpinan parti.

“Pemilihan adalah proses demokrasi yang tidak boleh mati dalam parti reformasi seperti PKR,” katanya.

Pada pemilihan PKR bagi penggal 2022-2025 lepas menyaksikan Saifuddin tewas kepada Rafizi yang juga adalah menteri ekonomi dan ahli Parlimen Pandan, untuk jawatan nombor dua parti.

Antara pemimpin yang dikaitkan dengan Rafizi ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Kedua-dua mereka tewas dengan majoriti tipis.

Pada sidang akhbar hari ini, Saifuddin juga menolak label yang diberikan bahawa terdapat ‘orang Saifuddin’ atau ‘orang Rafizi’, dalam PKR. Sebaliknya, katanya, bahawa semua mereka adalah ‘orang parti’, seperti ditegaskan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Katanya, sebagai orang lama, dia dan Rafizi telah mengulangi ikrar mereka untuk bersama-sama sebagai pimpinan dalam PKR.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, kesetiaannya kepada PKR tidak wajar dipersoalkan memandangkan dia pernah memegang jawatan penting selama 14 tahun dan terlibat sejak penubuhan parti.

“Saya bersama rakan pengasas lain membina PKR dari awal tanpa sokongan atau pengaruh. Parti ini sebahagian daripada hidup saya,” katanya.

Saifuddin juga menasihatkan ahli yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan di peringkat akar umbi supaya menyampaikan melalui saluran rasmi.

“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan bermesyuarat esok dan itu platform terbaik untuk menyuarakan pandangan,” katanya.

Berhubung kekalahan beberapa tokoh besar dalam pemilihan cabang, dia menegaskan mereka tidak akan dipinggirkan.

“Selagi berkhidmat dan setia, tetap ada tempat. Dalam parti, saya lebih banyak kalah daripada menang, tapi saya masih di sini,” katanya lagi.

Ulasan