
Calon PN, Ustaz Muhaimin ‘bukan kaleng-kaleng’
April 12, 2025
TAPAH: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, bukan sebarang individu, tetapi pendidikan tinggi dan dikenali masyarakat khususnya di Tapah.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia berkata, beliau yakin Ustaz Abdul Muhaimin Malek mampu melakukan gerak kerja yang baik untuk DUN Ayer Kuning.
“PN juga menampilkan calon dari kalangan anak muda, malah lebih muda berbanding calon Pakatan Harapan (PH) walaupun sebelum ini mereka (kata nak) umum calon mereka dari kalangan orang muda,” ulasnya.
Pengundi juga bagi beliau, sudah sedia maklum bahawa Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen PN, sama ada di Perak mahupun negeri lain, merupakan yang berintegriti serta amanah menjalankan tugas.
“Wakil-wakil PN ini ‘cakap serupa bikin’ bukan seperti sebelah sana, ‘cakap tak serupa bikin’,” tambah beliau turut bersetuju Ustaz Muhaimin juga ‘bukan kaleng-kaleng’ (bukan sebarang individu).
Beliau berkata demikian, ketika ditemui Harakahdaily pada perarakan penamaan calon PRK N.48 DUN Ayer Kuning di pekarangan Pejabat Daerah Tapah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata Dr Mastura, pemimpin, ADUN-ADUN dan Ahli Parlimen PN komited memperjuangkan isu kesatuan Melayu-Islam yang menjadi tonggak kepada perjuangannya.
Termasuk memperjuangkan hak-hak orang Melayu-Islam, namun dalam masa yang sama, tetap menjaga hak-hak orang bukan-Islam dan kaum minoriti.
“Jadi, pastinya calon PN Ustaz Abdul Muhaimin, wajar menjadi pilihan pengundi pada 26 April. Oleh itu jangan lupa…undi PN,” serunya lagi. HARAKAHDAILY 12/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan