
Ceroboh tanah: Negeri lain nak tunggu apa lagi
21 April 2025 09:30am
Masa membaca: 2 minit
Laporan Sinar Harian mengenai pencerobohan tanah di Pahang.
TINDAKAN Kerajaan Negeri Pahang yang menunjukkan ketegasan luar biasa dalam menangani isu pencerobohan tanah haram satu langkah yang wajar dipuji dan diikuti pihak berkuasa di negeri lain.
Ini adalah satu langkah pertama untuk mengembalikan maruah undang-undang itu sendiri.
Sampai bila undang-undang ditafsir mengikut acuan peneroka haram dengan tindakan bersekongkol pihak berkepentingan lain.
Jika tidak dibendung segera, anak cucu kita akan hilang nikmat sebuah negara yang bernama Malaysia.
Perkembangan ini turut mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan negeri bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dalam membanteras kegiatan pencerobohan haram di negeri ini.
Baginda menegaskan bahawa pentadbir tanah di semua peringkat wajib menjadi benteng hadapan, bukan boneka yang diperalatkan, dan jangan berkompromi dalam hal yang melibatkan kedaulatan undang-undang negeri.
Pencerobohan tanah bukan isu terpencil di Pahang sahaja; ia berlaku hampir di setiap daerah dan negeri. Di Pahang, lebih 14,494.9 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman seperti sawit, getah, durian, dan pelbagai hasil bumi.
Selain itu, seluas 5,997.09 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) turut menjadi mangsa pencerobohan atas alasan pertanian di negeri itu.
Berdasarkan perkembangan teknologi terkini agak mustahil penerokaan tanah secara haram tidak dapat dikesan sekiranya semua pihak berganding bahu mengatasinya.
Paling mudah, terbangkan dron untuk memantau sebelum buat tindakan susulannya.
Pada masa sama, rakyat juga perlu berani untuk melaporkan salah laku dan pihak berkuasa mengambil tindakan atas laporan sebelum melakukan pendakwaan.
Jika isu pencerobohan tanah haram ini dibiarkan berterusan, kita bakal menyaksikan kemusnahan alam sekitar yang tidak dapat dipulihkan.
Hutan simpan yang menjadi benteng biodiversiti akan lenyap, sumber air tercemar dan risiko bencana alam seperti tanah runtuh akan meningkat.
Kerajaan Negeri Pahang telah menunjukkan contoh teladan dalam menangani isu ini.
Sudah tiba masanya negeri-negeri lain mengambil langkah serupa, bukan sekadar memandang sepi atau menunggu arahan dari pusat.
Ulasan
Catat Ulasan