China kecam negara ikut telunjuk AS





China kecam negara ikut telunjuk AS
PENUNJUK perasaan berhimpun berhampiran Rumah Putih semasa protes nasional bagi membantah dasar dan tindakan eksekutif Donald Trump, di Washington. – AFP
Oleh .WARTAWAN LUAR NEGARA
22 April 2025, 7:15 am

BEIJING: China mengecam negara-negara lain yang membuat perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi mengelak perang tarif dan memberi amaran akan mengambil tindakan balas terhadap mana-mana pihak yang sanggup tunduk terhadap kehendak Washington sehingga merugikan Beijing.

Ketika ini, kebanyakan negara di dunia dikenakan tarif import sebanyak 10 peratus oleh AS namun, China menerima tarif jauh lebih tinggi mencecah 145 peratus untuk pelbagai produk.

Beberapa negara kini sedang berunding dengan Washington untuk mendapatkan pengurangan tarif yang dibuat pada masa sama perang perdagangan sepenuhnya dilancarkan terhadap China sebagai pesaing ekonomi utamanya.

Namun Beijing memberi amaran agar negara-negara lain tidak membuat perjanjian dengan AS yang boleh menjejaskan kepentingan China.

“Bersikap terlalu berlembut tidak akan membawa keamanan dan membuat kompromi tidak semestinya akan dihormati.

“Mengejar kepentingan diri sendiri dengan mengorbankan kepentingan orang lain umpama bermain dengan api. Ia sangat berbahaya,” kata jurucakap Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan.


Menurut Beijing, pendekatan seperti ini bukan sahaja akan gagal, malah akan mendatangkan kesan buruk kepada semua pihak yang terlibat.

“China menentang sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang membuat perjanjian yang merugikan kepentingan kami. Jika perkara ini berlaku, China tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan balas yang tegas dan setimpal,” tambahnya.

Serangan tarif oleh Presiden, Donald Trump mencetus ketegangan antara dua kuasa ekonomi besar dunia itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemelesetan global selain menggugat harga pasaran.

Khamis lalu, Trump berkata, AS sedang berbincang dengan China dan mendakwa beliau amat yakin untuk mencapai satu perjanjian bagi menamatkan perang perdagangan yang berlarutan ini.

Namun, setakat ini, China belum mengesahkan sebarang rundingan sedang berlangsung, walaupun negara itu tetap menyeru agar dialog diadakan.

Beijing turut mengkritik pendekatan AS yang digambarkan sebagai unilateral dan hanya melindungi kepentingan sendiri secara melampau, memberi amaran bahawa pendekatan sebegini boleh membawa dunia kembali kepada ‘undang-undang rimba’ di mana yang kuat menindas yang lemah.

“Kalau dunia terus begini, semua negara akhirnya akan menjadi mangsa,” kata Beijing.

100 hari pentadbiran Trump

Sepanjang 100 hari pertama pentadbirannya, satu perkara yang jelas ialah Trump sedang menggunakan kuasa mutlak jawatannya sebagai pemimpin AS.

Trump kini dipandu oleh rasa tidak puas hati daripada penggal pertamanya yang penuh kekacauan dan berakhir dengan tragedi rusuhan Capitol pada 2021 selepas kekalahannya kepada bekas Presiden, Joe Biden.

Pada hari pertamanya kembali memegang jawatan Presiden, beliau membebaskan ratusan peserta rusuhan tersebut dari penjara.

Namun dalam aspek kuasa politik, beliau tidak menunjukkan belas kasihan, malah kelihatan lebih berfikiran sempit berbanding pentadbirannya sebelum ni.

“Trump versi 2.0 jauh lebih bersifat authoritarian, lebih ‘berkuasa’ baik dari segi pemikiran mahupun tindakan berbanding versi 1.0,” kata Sejarawan Politik Universiti George Washington, Matt Dallek.

Trump juga terus membina naratif seolah-olah pentadbirannya sebuah rancangan realiti yang tidak berpenghujung, di mana beliaulah bintang utama dengan menandatangani perintah eksekutif dan menjawab soalan wartawan dari Pejabat Oval.

Gelombang perintah eksekutif tersebut kini menjadi serangan yang belum pernah berlaku terhadap asas-asas demokrasi AS dan turut menggugat kestabilan dunia.

“Kita tidak pernah lihat serangan berterusan sebegini terhadap perlindungan perlembagaan, sekurang-kurangnya dalam zaman moden,” tambah Dallek.

Dengan bantuan kontroversi daripada hartawan yang juga individu terkaya dunia, Elon Musk, Trump melancarkan kempen untuk melemahkan kerajaan Persekutuan yang menurutnya dikuasai oleh golongan elit liberal yang cuba menghalang agendanya secara senyap.

Beliau menggunakan undang-undang zaman perang yang berusia berabad lamanya untuk menghantar pendatang ke penjara mega di El Salvador dan turut memberi amaran rakyat AS sendiri mungkin menjadi sasaran seterusnya.

Trump juga mencabar kuasa kehakiman dan memaksa beberapa firma guaman yang terlibat dalam kes-kes lampau terhadapnya untuk menerima perjanjian yang berat sebelah.

Media turut menjadi mangsa apabila beliau masih melabel wartawan sebagai ‘musuh rakyat’ dan mengehadkan akses saluran yang dibenarkan membuat liputan di Rumah Putih.

Beliau turut melaksanakan pembersihan ideologi, menyekat program kepelbagaian, menyasarkan universiti malah, melantik dirinya sebagai ketua pusat seni berprestij.

Di peringkat antarabangsa, Trump membuat tuntutan ke atas wilayah-wilayah seperti Greenland, Panama dan Kanada, tindakan yang mengingatkan pada pendekatan Presiden Russia, Vladimir Putin.

Trump menamatkan tiga bulan pertama pentadbirannya dengan kadar sokongan yang sangat rendah, merosot teruk berbanding mana-mana Presiden AS selepas Perang Dunia Kedua, kecuali dirinya sendiri pada penggal pertama, menurut tinjauan Gallup. – AFP

Ulasan