CUACA TIDAK MENENTU; ANCAMAN SENYAP YANG MENGUNDANG BENCANA
Tarikh : 12 April 2025
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat Malaysia semakin biasa dengan perubahan cuaca yang sukar dijangka. Pagi yang cerah boleh bertukar menjadi ribut petir menjelang petang, manakala musim panas yang panjang diiringi hujan lebat luar biasa dalam sekelip mata. Fenomena cuaca tidak menentu ini bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian, malah membawa risiko besar terhadap keselamatan, infrastruktur dan kesejahteraan masyarakat lebih-lebih lagi dalam bentuk bencana alam.
Semalam, sebagai contohnya; lima daerah di Selangor telah dilanda banjir sehingga menyebabkan dua orang maut akibat terkena renjatan elektrik. Banjir yang berlaku di Selangor sejak semalam ini berlarutan sehingga ke hari ini sehingga menyebabkan tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi bagi menampung kehadiran mangsa banjir yang terlibat.
Apakah Maksud Cuaca Tidak Menentu?
Cuaca tidak menentu merujuk kepada corak cuaca yang berubah secara mendadak dan sukar diramal. Di Malaysia, kita kini berhadapan dengan situasi di mana musim tengkujuh melangkaui jangkaan, musim panas semakin ekstrem dan hujan lebat turun secara sporadik tanpa pola tetap. Punca utama keadaan ini adalah kesan perubahan iklim global, termasuk fenomena El Niño dan La Niña.
Hubungan Langsung dengan Bencana Alam
Salah satu kesan paling ketara cuaca tidak menentu ialah peningkatan risiko bencana seperti banjir kilat, tanah runtuh, ribut kuat dan kemarau. Bencana-bencana ini bukan lagi luar biasa, sebaliknya semakin kerap berlaku. Menurut data Jabatan Meteorologi Malaysia, jumlah hari dengan hujan lebat luar biasa dan ribut petir telah meningkat sejak satu dekad lalu.
Sebagai contoh, pada akhir tahun 2021 dan 2022, banjir besar melanda beberapa negeri seperti Selangor, Pahang dan Kelantan; banyak daripadanya berlaku akibat curahan hujan ekstrem dalam tempoh yang sangat singkat. Jalan raya tenggelam, rumah hanyut dan nyawa melayang. Ini bukan sahaja disebabkan oleh kelemahan sistem saliran atau pembangunan tanpa kawalan, tetapi juga kerana cuaca yang tidak menentu yang melampaui jangkaan model cuaca konvensional.
Impak Terhadap Masyarakat dan Infrastruktur
Bencana yang tercetus akibat cuaca tidak menentu memberi kesan menyeluruh bukan hanya kepada mangsa secara langsung, tetapi juga kepada ekonomi dan pembangunan negara. Infrastruktur penting seperti jalan raya, jambatan, talian elektrik dan sistem air bersih mudah terjejas apabila banjir melanda. Malah, sistem pengangkutan dan komunikasi juga sering tergendala, menyukarkan usaha bantuan dan pemulihan.
Penduduk di kawasan rendah atau berhampiran sungai kini hidup dalam ketakutan setiap kali langit mendung dan guruh mula kedengaran. Dalam masa yang sama, petani pula berdepan kesukaran untuk merancang musim tanaman akibat corak hujan yang tidak menentu, menjejaskan pengeluaran makanan tempatan.
Tindakan yang Perlu Diambil
Sama ada kita suka atau pun tidak, usaha untuk menyesuaikan diri dengan realiti cuaca tidak menentu ini perlu diberikan penerangan dan kesedaran kepada masyarakat. Namun begitu ia memerlukan kesedaran, persediaan dan kerjasama semua pihak. Antara langkah yang wajar diambil termasuklah pemantauan dan ramalan cuaca yang lebih tepat berbanding dengan apa yang digunapakai oleh pihak kerajaan namun sudah pasti ia memerlukan pelaburan dalam teknologi dan kemahiran ramalan cuaca.
Keduanya adalah sistem amaran awal yang lebih berkesan untuk memberi masa yang cukup kepada penduduk untuk bersedia atau berpindah. Kerajaan perlu menyediakan sistem amaran berperingkat yang memberikan maklumat yang lebih terperinci pada setiap tahap risiko. Sebagai contoh, tahap amaran pertama mungkin hanya memberi peringatan mengenai cuaca buruk, manakala tahap amaran yang lebih tinggi memberi perincian lebih lanjut mengenai waktu dan kawasan yang terlibat dalam bencana.
Ketiganya, pendidikan dan latihan masyarakat perlu dikemaskini bagi meningkatkan kesedaran awam tentang persediaan menghadapi bencana. Mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan menyediakan latihan secara berkala untuk penduduk di kawasan ‘hot spot’ dan pihak berkuasa tempatan supaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan semasa menerima amaran.
Penutup: Kita Tidak Lagi Boleh Lalai
Cuaca tidak menentu bukan sekadar isu cuaca semata-mata, tetapi petanda bahawa bumi sedang memberi isyarat untuk kita berubah. Ia menuntut perhatian dan tindakan segera dari semua; kerajaan, agensi penyelamat, kumpulan NGO, sektor swasta dan masyarakat. Bencana mungkin tidak dapat dielak sepenuhnya, tetapi kesannya boleh dikurangkan jika kita bersedia dan saling berganding bahu.
Kerana akhirnya, cuaca tidak menentu bukan lagi perkara luar biasa, ia telah menjadi norma baharu yang perlu kita hadapi dengan bijak dan bertanggungjawab.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan