
‘Dia hanya jual belon, dia tak jual dadah atau ganja’
13 kes lampau tidak mewajarkan tindakan melampau ke atasnya
April 6, 2025
KUALA LUMPUR: Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili ‘Abang Belon’ atau nama sebenarnya Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, mengulas dakwaan bahawa anak guamnya itu mempunyai 13 kes kesalahan lampau.
Jelas Rafique sumber kenyataan tersebut tidak diketahui dan belum disahkan secara rasmi, sekali gus Muhammad Zaimuddin tidak akan menjawab soalan mengenainya, melainkan dari segi undang-undang.
‘Abang Belon’ terdahulu membuat laporan berhubung insiden dikasari penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika berniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman pada 28 Mac lalu, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.
“Kes lampau selalunya digunakan sebagai faktor pemberatan oleh pihak pendakwaan ketika mahkamah menjatuhkan hukuman. Namun, ia tidak menghalalkan sebarang perbuatan melampaui batas oleh mana-mana pihak, khususnya badan penguat kuasa.
“Adakah kerana seseorang itu mempunyai rekod kesalahan lampau, maka dia boleh diperlakukan sedemikian rupa? Sedangkan ramai yang mempunyai kesalahan lampau, malah ada yang menjawat jawatan tinggi dalam sektor awam tetapi tidak pernah dimalukan seperti Zaim,” katanya.
Rafique turut mempersoalkan sumber yang mengeluarkan maklumat mengenai rekod kes lampau itu kerana menurutnya sebaik maklumat keluar, semua media memetik ayat sama, seolah-olah ada niat memburukkan nama Zaimuddin dan keluarganya.
“Tetapi lebih penting daripada itu, walau apapun rekodnya, adakah beliau layak diperlakukan sebegitu? Rekod rasmi hanya boleh disahkan oleh jabatan di Bukit Aman. Rekod itu biasanya digunakan oleh pendakwaan di mahkamah, bukan untuk hukuman awam,” katanya.
Rafique berkata, pada hari kejadian yang dikatakan berlaku antara jam 11:30 hingga 11:45 malam pada 28 Mac di kawasan perniagaan terkenal tersebut, Muhammad Zaimuddin hanya menjual belon dan tidak melakukan sebarang kesalahan berat.
“Zaim tidak menjual ganja, tidak mengambil duit rakyat, tidak melakukan kesalahan seksual, tidak menggugat keselamatan negara, tidak menerima wang dari akaun luar. Dia hanya jual belon. Dia tak jual dadah atau ganja,” katanya.
Disahkan alami kecederaan T12
Berhubung dakwaan kononnya Zaimuddin berpura-pura mengalami kecederaan, Rafique menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa ‘Abang Belon’ telah disahkan mengalami kecederaan pada tulang belakang.
“Ramai netizen jadi pakar perubatan. Mereka menilai dari sudut visual kononnya kalau patah belakang tak boleh duduk atau peluk. Sekarang dia di atas kerusi roda dan memakai pendakap.
“Ini adalah pengesahan perubatan pertama dari Hospital Serdang, hospital kerajaan, bahawa beliau mengalami T12 compression. Kepada mereka yang menjadi ‘keyboard warrior’, sila Google dan tanya kepada ChatGPT apa itu T12 compression,” katanya.
Menurutnya, walaupun laporan perubatan penuh belum diperolehi, nota pelepasan hospital (discharge note) sudah mengesahkan wujudnya masalah kesihatan berpunca daripada insiden itu.
“Perkara pertama yang dibuat adalah laporan polis. Kita semua dah dengar ada dua pertuduhan iaitu Seksyen 186 dan Seksyen 353 berkaitan kecederaan dengan sengaja. Tapi kita datang hari ini untuk ceritakan cerita Zaim,” katanya.
Dakwaan tunggangan politik
Rafique turut menolak dakwaan bahawa Muhammad Zaimuddin adalah tunggangan parti politik tertentu.
“Ada yang kata dia dibayar untuk berlakon, tunggangan politik. Ini semua tuduhan tidak berasas. Tetapi satu perkara yang betul-betul jelas hari ini kita dapat lihat bagaimana mereka-mereka yang menyokong kerajaan hari ini bersungguh-sungguh melemparkan pelbagai fitnah.
“Sedangkan kita di sini pun tak tahu dia ni sokong parti mana mak dia undi parti mana ayahnya undi parti mana Kita tak tahu Tapi tohmahan tu dilemparkan seolah-olah dia ni memang menjadi tunggangan pihak pembangkang.
“Dan seolah-olah kita ni datang sini sebab kita ni dibayar kononnya kita ni digunakan oleh pihak-pihak tertentu. Kita ni pelbagai latar belakang ni. Cuma kita minta rakyat Malaysia fahami keadaan yang berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan