
Diet detoks ‘cuci’ usus hanya mitos?
kesedaran mengenai fungsi hati perlu sentiasa dipertingkat untuk mencegah salah faham mengenai diet detoks. – GAMBAR HIASAN
Oleh ROSALINDA MD SAID
22 April 2025, 8:25 am
KEBELAKANGAN ini, diet detoks popular di media sosial kerana ia dikatakan menawarkan pelbagai manfaat kesihatan.
Antaranya bagi ‘membersihkan’ tubuh badan daripada toksin atau bahan-bahan berbahaya yang terkumpul.
Terutama apabila seseorang menikmati makanan tidak sihat atau gaya hidup yang tidak seimbang.
Diet jenis ini dikaitkan dengan amalan pemakanan tertentu yang berlangsung selama beberapa hari hingga minggu.
Bagaimanapun, pakar perubatan keluarga Universiti IMU, Dr. Chow Suet Yin berpendapat, amalan diet detoks tidak diperlukan oleh kebanyakan individu.
Tubuh manusia sudah memiliki sistem detoks semula jadi iaitu hati dan organ-organ lain.
Jelasnya, hati adalah organ utama yang bertanggungjawab mengendalikan toksin.
Paling menarik, ia tidak memerlukan sebarang diet tertentu untuk melakukan tugasan tersebut.
“Hati menghasilkan enzimnya sendiri untuk memecahkan sisa metabolik dan menukarkan bahan supaya ia dapat dikeluarkan melalui air kencing dan najis,” katanya ketika mengulas mengenai fungsi hati.
Ujarnya, tanpa fungsi itu, bahan buangan seperti bilirubin akan terkumpul dalam badan, lantas menyebabkan masalah seperti jaundis.
Lama kelamaan, pengumpulan itu akan menjejaskan fungsi otak dan membawa kepada koma.
Suet Yin menyedari hakikat yang kebanyakan masyarakat tidak melihat hati sebagai organ yang penting untuk kesihatan.
Sedangkan, organ itu sebenarnya menjalankan begitu banyak fungsi tanpa disedari ramai.
“Ia bekerja keras dan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam proses detoksifikasi, malah pencernaan, imuniti dan metabolisme.
“Hati yang sihat dan berfungsi dengan baik adalah asas untuk kesihatan yang baik,” katanya.
Fungsi lain hati
Selain detoksifikasi, hati berfungsi untuk pencernaan menerusi penghasilan hempedu.
Ia membantu memecahkan lemak supaya boleh diserap di samping menyimpan vitamin larut lemak A, D, E dan K.
Tanpa hempedu, tubuh manusia tidak dapat menyerap vitamin-vitamin itu lantas menjejaskan pelbagai aspek kesihatan termasuk penglihatan, tulang dan otot lemah diikuti darah beku.
Suet Yin berkata, fungsi lain hati ialah untuk imunisasi dan membantu mencegah keradangan serta jangkitan.
Katanya, hati menghasilkan sel kupffer yang berperanan menapis dan mengeluarkan patogen berbahaya seperti virus serta bakteria, yang boleh memasuki hati dari saluran pencernaan.
“Dengan membantu mencegah keradangan dan jangkitan, sel Kupffer memainkan peranan penting dalam melindungi kesihatan hati, membolehkan ia melaksanakan pelbagai fungsi dalam tubuh.
“Manakala fungsi hati yang seterusnya ialah metabolik menerusi penghasilan protein bagi pembekuan darah dan albumin untuk mengekalkan jumlah darah,” katanya.
Gaya hidup punca penyakit hati
Hati dikatakan sebagai satu-satunya organ yang mampu pulih sendiri.
Begitupun, setiap perkara ada hadnya.
Menurut Suet Yin, gaya hidup yang tidak sihat adalah punca utama hati tidak sihat dan penyakit hati.
“Ia termasuk pengambilan alkohol berlebihan, diet tinggi lemak tepu, gula, dan makanan diproses; obesiti dan kurang bersenaman.
“Fungsi hati juga boleh terjejas dengan pengambilan makanan tambahan dan ubat tradisional atau herba,” katanya.
Walaupun gejala awal penyakit hati tidak spesifik, namun tanda yang lebih jelas akan muncul apabila keadaannya semakin merosot.
Hati berlemak adalah peringkat awal penyakit hati dan tiada sebarang gejala.
Hanya imbasan yang dapat mendedahkan pengumpulan lemak yang terkumpul di dalam hati.
“Ia seterusnya berkembang menjadi keradangan dan ketika ini pesakit mungkin mengalami gejala seperti keletihan dan sakit abdomen yang datang serta pergi.
“Tanpa rawatan, tisu parut akan terkumpul daripada usaha berterusan hati untuk memulihkan dirinya sendiri dan berkembang menjadi fibrosis.
“Pada peringkat ini, fungsi hati sudah pun terjejas dan menyebabkan gejala yang lebih teruk, seperti sakit abdomen akibat hati yang membesar atau pengumpulan cecair di dalamnya,” katanya.
Peringkat seterusnya penyakit hati dikenali sebagai sirosis, iaitu kerosakan pada hati dan saluran darah yang tidak boleh dipulihkan.
Dalam situasi itu, pesakit mungkin mengalami gejala seperti jaundis dan lebih mudah mendapat lebam atau berdarah.
Jelas Suet Yin, di tahap teruk, seseorang mungkin akan muntah darah dan mengalami kekeliruan atau lemah tubuh badan.
Sel yang rosak itu boleh membawa kepada kanser atau berkembang menjadi kegagalan hati.
Hati sihat, hidup sihat
Amalan gaya hidup sihat merupakan kunci utama dalam mencegah kerosakan hati.
Beliau menyarankan pemakanan yang betul dengan pengambilan lemak baik dari sumber seperti minyak zaitun, avokado, ikan, bijirin dan kacang.
Kurangkan pengambilan makanan diproses, lemak tepu serta bahan seperti alkohol di samping garam dan gula secara sederhana
Selain itu, perlu bersenam secara berkala dan kawal berat badan agar tidak berlebihan.
“Penurunan berat badan sebanyak lima hingga 10 peratus boleh memulihkan hati berlemak.
“Tidur juga perlu mencukupi kerana hati bekerja lebih keras ketika kita berehat,” katanya.
Suet Yin turut mengingatkan masyarakat agar berhati-hati dengan pengambilan makanan tambahan dan ubat tradisional yang berisiko terhadap fungsi hati.
Justeru, rutin pemeriksaan tahunan amat penting untuk memantau kesihatan hati secara berkala serta membolehkan rawatan awal dijalankan jika terdapat sebarang masalah.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan