Doktor palsu lakukan pembedahan jantung, tujuh pesakit maut


Doktor palsu lakukan pembedahan jantung, tujuh pesakit maut

07 April 2025 07:40am
Masa membaca: 2 minit

MADHYA PRADESH – Seorang lelaki yang menyamar sebagai pakar kardiologi terkenal dari Britain didakwa menyebabkan kematian sekurang-kurangnya tujuh pesakit selepas menjalankan beberapa pembedahan jantung secara haram di sebuah hospital misionari swasta di Damoh, Madhya Pradesh.

Lelaki tersebut, yang menggunakan nama N John Kem, dilaporkan menyamar sebagai seorang doktor ternama dari United Kingdom dan berjaya mendapatkan pekerjaan di hospital berkenaan.

Bagaimanapun, siasatan pihak berkuasa mendapati identitinya yang sebenar ialah Narendra Vikramaditya Yadav.

Menurut laporan media tempatan, kematian tujuh pesakit dalam tempoh sebulan menimbulkan kecurigaan dan mendorong siasatan lebih lanjut oleh pihak pentadbiran daerah.

Siasatan awal menunjukkan semua pesakit yang menjalani pembedahan oleh suspek mengalami komplikasi dan meninggal dunia selepas itu.


Deepak Tiwari, seorang peguam dan juga Presiden Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak daerah, mendakwa angka sebenar kematian mungkin lebih tinggi.

Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat kes pesakit yang sempat menarik diri selepas merasa curiga terhadap kelayakan 'doktor' berkenaan.

"Kami dimaklumkan bahawa individu ini tidak pernah menunjukkan dokumen pengenalan yang sah.

"Kami juga dapati terdapat kes jenayah terhadapnya di Hyderabad," katanya kepada media pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Priyank Kanoongo, ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan India, memaklumkan bahawa hospital misionari itu turut menerima dana kerajaan melalui skim Ayushman Bharat.

Menurutnya, pihaknya telah menerima aduan berhubung dakwaan serius ini dan siasatan telah dimulakan.

“Ini adalah perkara yang amat serius. Hospital ini menerima pembiayaan kerajaan, namun menggaji individu yang menyamar sebagai doktor bertauliah.

"Kami akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Kesemua dokumen berkaitan telah dirampas oleh pasukan penyiasat daerah untuk tujuan siasatan lanjut.

Pihak berkuasa percaya suspek telah menyerahkan dokumen palsu yang menyerupai rekod seorang doktor sebenar dari Britain.

Pegawai Daerah Damoh, Sudhir Kochar, dan Ketua Polis Daerah, Abhishek Tiwari, masing-masing mengesahkan siasatan masih berjalan dan kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan setelah siasatan selesai.

Narendra Yadav turut dikaitkan dengan beberapa kontroversi lain termasuk ciapan kontroversi pada 2023 di mana beliau menyamar sebagai Dr N John Kem dan menyeru Ketua Menteri Uttar Pradesh dihantar ke Perancis bagi menangani rusuhan, satu tindakan yang mencetuskan kritikan meluas. - Agensi

Ulasan