Elak bola sepak negeri jejas, FAM perlu campur tangan


Elak bola sepak negeri jejas, FAM perlu campur tangan
Piala Presiden merupakan kejohanan peringkat liga bawahan yang mampu mencungkil bakat baharu dalam bola sepak negara. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
22 April 2025, 7:15 am

PETALING JAYA: Perak FC disifatkan mengambil satu langkah ke belakang sekiranya mereka membuat keputusan untuk hanya menghantar pasukan dalam saingan Liga Super sahaja pada musim hadapan.

Pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata keputusan itu juga mampu melumpuhkan ekosistem bola sepak Perak secara khususnya.

“Jika mereka tidak menghantar pasukan pada saingan liga tertinggi bawah umur dalam negara kita, ia akan menjejaskan peluang untuk pencarian bakat baharu. Boleh dikatakan seluruh sistem bola sepak Perak akan lumpuh.

“Ini kerana semua yang bermain di peringkat akar umbi akan tengok mereka tiada tempat lain untuk dituju selepas main di peringkat tersebut kerana ketiadaan pasukan maka pembangunan bola sepak remaja akan terjejas di Perak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan Perak FC berkemungkinan hanya menyertai Liga Super pada musim depan berikutan dipercayai menghadapi kesulitan kewangan.

Dalam pada itu, Zulakbal turut menggesa agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan segera bagi menangani isu tersebut sebelum ia menjadi semakin parah.


“FAM perlu memanggil pengarah teknikal dan ketua pegawai eksekutif semua pasukan dan bertanyakan apa masalah yang dihadapi. Kalau boleh diselesaikan, buat polisi baru FAM untuk bangunkan bola sepak bawah umur.

“Kaji tindakan dalam bentuk dasar dan laksanakan tindakan itu, yang penting kena kembali ke meja perundingan dan perancangan. Bukannya tiba-tiba mahu menarik diri dengan tidak menghantar wakil menyertai kejohanan,” katanya. – UTUSAN

Ulasan