
Gaji penjawat awam dipotong: Rampas secara halus
April 10, 2025
KUALA LUMPUR: Cadangan untuk memotong gaji penjawat awam Gred 48 ke atas bagi membantu mangsa kebakaran di Putra Heights baru-baru ini adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan menimbulkan persoalan etika serta keadilan.
Setiausaha Agung Persatuan Institusi-institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), Ir Mohd Prasad Hanif berkata, walaupun usaha membantu mangsa merupakan tindakan mulia, namun ia harus dilakukan secara sukarela dan bukan melalui paksaan.
“Gaji adalah hasil titik peluh seseorang. Ia bukan sekadar angka atas kertas, tetapi datang daripada pengorbanan masa, tekanan kerja dan tanggungjawab yang besar.
“Bila dipotong tanpa persetujuan, ia bukan lagi derma, malah ia menjadi satu bentuk perampasan secara halus,” katanya menerusi kenyataan di _Facebook_, hari ini.
Mohd Prasad berkata, nilai moral sesuatu sumbangan terletak pada keikhlasan, bukan pada tekanan atau arahan pihak atasan.
“Apabila seseorang diberi ruang untuk memilih, nilai sumbangan itu jauh lebih tinggi. Tetapi apabila dipaksa, bukan sahaja hilang keikhlasan, bahkan boleh timbul rasa kecewa dan tidak puas hati,” katanya.
Beliau berkata, tindakan seperti itu juga membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
“Jika hari ini dipotong untuk kebakaran, esok mungkin untuk bencana lain pula. Adakah setiap krisis akan diletakkan sepenuhnya ke atas bahu penjawat awam, tanpa suara dan tanpa pilihan?” soalnya.
Mohd Prasad berkata, ramai penjawat awam masih berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi walaupun bergred tinggi termasuk menyara anak-anak di universiti, ibu bapa uzur, serta komitmen kewangan seperti pinjaman rumah dan kenderaan.
“Memotong gaji mereka dalam keadaan ini seolah-olah menekan mereka yang sedang berjuang untuk terus berdiri teguh,” katanya.
Justeru, beliau menggesa agar pemimpin menunjukkan contoh dengan menyumbang secara sukarela dan memberi ruang kepada rakyat untuk membuat keputusan sendiri.
“Memimpin dengan belas ihsan lebih berkesan daripada memerintah dengan tekanan. Yang ikhlas akan tetap memberi. Yang dipaksa, hanya akan diam dan menjauh,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan