Hujan lebat burukkan lagi keadaan di Myanmar



Hujan lebat burukkan lagi keadaan di Myanmar
ORANG ramai beratur untuk mendapatkan bantuan makanan yang diagih di Sagaing kelmarin, berikutan gempa bumi dahsyat melanda Myanmar pada 28 Mac lalu.- AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
6 April 2025, 7:07 pm


NAYPYIDAW: Hujan lebat semakin memburukkan keadaan dan menyukarkan usaha bantuan di Myanmar, ketika media negara melaporkan jumlah kematian akibat gempa bumi dahsyat meningkat kepada hampir 3,500 orang.

Gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter itu berlaku pada 28 Mac lalu, meruntuhkan bangunan, memutuskan bekalan elektrik dan merosakkan jambatan serta jalan raya di seluruh negara.

Kerosakan teruk berlaku di bandar Sagaing yang terletak berhampiran pusat gempa, serta di Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar yang mempunyai lebih 1.7 juta penduduk.

Media negara yang dikendalikan pemerintah junta kini melaporkan 3,471 kematian yang disahkan dan 4,671 orang cedera, manakala 214 lagi masih hilang.

Berikutan trauma untuk kembali ke kediaman masing-masing, ramai penduduk yang memilih untuk tidur di luar di dalam khemah.

Bagaimanapun, hujan lebat yang melanda menyebabkan penduduk dilema untuk memilih berlindung dalam bangunan berisiko atau bertahan di luar dengan keadaan cuaca tidak menentu.

“Orang ramai kini berusaha membina semula kehidupan. Mereka memerlukan makanan, air dan bekalan elektrik,” kata Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher dalam video dirakam di Mandalay dan dimuat naik di X, hari ini.

Beliau berkata, ramai penduduk di kawasan itu masih tiada tempat perlindungan, sambil menyifatkan skala kerosakan di kawasan itu sebagai ‘epik’.

Pakar bantuan memberi amaran keadaan hujan dan suhu panas terik meningkatkan risiko berlakunya wabak penyakit di kem sementara yang menempatkan mangsa terjejas.- AFP

Ulasan