
Jangan bangga, kuasa di tangan PH, bukan BN
April 9, 2025
TAPAH: Dato’ Seri Hamzah Zainudin mengecam sikap Barisan Nasional (BN) Perak yang dilihat ‘berbangga’ dapat memerintah negeri itu walaupun sekadar memiliki sembilan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tiada guna BN memerintah apabila kuasa yang sebenarnya ‘dipegang’ oleh Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 24 kerusi DUN.
“Perintah macam mana bila rakyat terseksa? Perintah buat apa kalau rakyat hari ini sudah marah dengan kepimpinan yang ada. Kononnya mereka nak bagitahu DAP-lah yang selamatkan Umno.
“Di mana sebenarnya yang DAP selamatkan Umno? Di mana perjuangan Umno yang sebenarnya?” persoal Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Larut itu.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Padang Awam Tapah Road, di sini lewat malam tadi.
Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Selain Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Ketua Penerangan PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar dan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.
Justeru, beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu menyeru pengundi-pengundi BN untuk tidak menipu diri sendiri dengan mengundi parti itu pada PRK tersebut.
“Jangan tipu keluarga kita, jangan tipu sahabat handai kita, jangan tipu rakyat yang ada dalam negeri Perak, jangan sekali-kali kita menipu seluruh negara kita.
“Maka sebab itu, ingat kembali perjuangan asal kita. Kita mahu melihat kejayaan bukan hanya negeri Perak, tetapi seluruh negara kita Malaysia ini akan dipimpin oleh mereka yang bertanggungjawab.
“Percayalah, yakinlah hanya pemimpin Perikatan Nasional sahaja yang boleh dan memastikan kebaikan masa depan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan