
'Jangan hanya salahkan guru, ibu bapa boleh jadi faktor membiaknya buli' - Asyraf Wajdi
09 April 2025 09:09am
Masa membaca: 2 minit
SHAH ALAM - Faktor ibu bapa dan masalah yang timbul di rumah turut menjadi penyumbang utama berlakunya perbuatan buli dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.
Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan adalah tidak wajar menyalahkan pelajar atau guru semata-mata.
“Jangan hanya salahkan pelajar atau guru, ibu bapa dan masalah di rumah juga antara faktor utama membiaknya perilaku buli hingga terbawa-bawa ke asrama dan sekolah,” katanya di Facebook pada Rabu.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan bahawa Mara telah mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan kejadian buli di sebuah MRSM, di utara tanah air.
Arahan tersebut susulan tularnya satu video berdurasi 1 minit 31 saat di Facebook yang memaparkan beberapa pelajar didakwa memijak dan duduk di atas seorang pelajar lelaki.
Lebih mengejutkan, mereka menggunakan tali pinggang untuk mengikat kaki mangsa, dan remaja lelaki terbabit dilihat tidak melawan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut berkata, seramai tujuh pelajar yang terlibat dalam insiden buli berkenaan disyorkan untuk ditamatkan pengajian di institusi itu.
Ujarnya, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) telah memutuskan keputusan tersebut dalam satu mesyuarat dan mendapati seramai tujuh pelajar institusi pendidikan terbabit terlibat dalam insiden buli terhadap seorang pelajar.
"Daripada jumlah itu, siasatan mendapati dua pelajar terlibat secara langsung membuli, manakala lima rakan mereka pula bersubahat dalam kejadian tersebut.
"Sehubungan itu, semua pelajar MRSM yang terlibat disyorkan ditamatkan pengajian dari MRSM,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan