

Berita
Jazlan tak payah lagakan saya dengan polis - Adun PAS Kelantan
Diterbitkan: Apr 23, 2025 5:14 PM
Dikemaskini: 5:14 PM
Adun Melor, Wan Rohimi Wan Daud, menyifatkan kecaman Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub, ekoran kenyataannya di dewan undangan negeri (DUN) semalam sebagai cubaan untuk melagakan dia dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kata pemimpin PAS itu lagi, pada tanggapannya tiada yang pelik apabila dia menegur penjawat awam termasuk pegawai kanan PDRM kerana orang seperti perdana menteri juga boleh dikritik.
"Saya menegur penjawat awam. Takkan tidak boleh tegur sedangkan perdana menteri pun kami tegur.
"Kepada Ahmad Jazlan tak payah masuk campur hendak lagakan saya dengan polis," katanya seperti dipetik Sinar Online selepas mengadakan sidang media di Kota Bharu hari ini.
Terdahulu, Umno Kelantan mengecam kenyataan anggota Jawatankuasa PAS Pusat itu kerana didakwa cuba memberi gambaran buruk terhadap PDRM dengan menyerang dua pegawai kanan pasukan keselamatan terbabit.
Mereka ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay; dan Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat; yang dianggap Rohimi mempunyai niat tidak baik kepada kerajaan negeri.
Kata Ahmad Jazlan, Wan Rohimi bertindak melulu apabila menuduh Ayob Khan dan Mohd Yusoff mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Kelantan kerana tarikh mengundi untuk pilihan raya kecil di Ayer Kuning, Tapah akan berlangsung Sabtu ini.
Justeru Ahmad Jazlan mencabar Wan Rohimi mengulangi kenyataan tersebut di luar DUN Kelantan kerana ia tidak dilindungi oleh kekebalan undang-undang.
Menurut Wan Rohimi, dia tetap mempertahankan kenyataannya terhadap Mohd Yusoff sebagai "kosong" kerana tidak disertakan dengan bukti.
"Sepatutnya penjawat awam lebih berdisiplin tentang data dan janganlah beri kenyataan yang tidak bermesej. Pendedahan haruslah lebih detail (terperinci)," katanya.
Dengan kenyataan sebegitu, tambah Wan Rohimi, ia menimbulkan persepsi negatif terhadap Kelantan.
Ulasan
Catat Ulasan