
Jumpa daun pulai dalam bronkus, perut Zayn Rayyan
ZAIM Ikhwan Zahari (kanan) dan Ismanira Abdul Manaf (belakang) hadir bagi perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak austime di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Oleh NUR AIMI HAZIRAH
22 April 2025, 6:30 am
PETALING JAYA: Benda asing yang ditemukan dalam rongga tekak pernafasan (bronkus) dan perut mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin adalah daun pulai.
Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Mohd. Hafizee Ismail berkata, laporan awal itu diterima pada 12 Disember 2023 daripada ahli kimia yang mengesahkan tentang objek asing itu selepas dihantar untuk analisis.
“Pukul 8.55 malam, saya telah terima laporan awal daripada ahli kimia mengesahkan hasil laporan awal ke atas objek asing dalam bronkus si mati yang telah dihantar untuk analisis adalah daun pulai.
“Berdasarkan maklumat ini, saya telah jalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati terdapat pokok pulai berhampiran anggaran 10 meter dari tempat si mati ditemui,” katanya ketika membacakan penyataan saksi di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Sebelum ini, Dr. Rohayu Shahar Adnan yang juga saksi pendakwaan ke-27 mendedahkan penemuan benda asing pada rongga pernafasan belah kanan dan dalam perut Zayn Rayyan termasuk kesan lebam pada lelangit dipercayai kesan memasukkan benda asing secara paksa, selain luka koyak di bahagian dubur akibat objek tumpul.
Dalam pada itu, Mohd. Hafizee berkata, hasil daripada siasatan yang dijalankan pada 31 Mei 2024, ibu bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf telah ditangkap untuk siasatan.
Kemudiannya, pada 10 Jun 2024 tertuduh, Ismanira telah dibawa keluar dari lokap untuk menjalankan proses lakonan semula.
“Proses (lakonan semula) bermula dari pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari. Saya arahkan pasukan D6 Bukit Aman untuk merakam proses lakonan semula tersebut. Rakaman tersebut telah disalin ke dalam pendrive (pemacu pena) dan telah diserahkan kepada saya.
“Pada 12 Jun 2024 tertuduh, Ismanira telah dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya yang kemudian pada 13 Jun 2024 saya telah menerima arahan untuk tertuduh pertama iaitu Zaim Ikhwan dan tertuduh kedua iaitu Ismanira dituduh dibawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Hafizee mendedahkan terdapat kesan darah pada bilik tidur dan tandas di rumah Zayn Rayyan.
Katanya, darah itu dikesan semasa menjalankan proses mendapatkan tindak balas kesan darah (luminol) pada malam 9 Disember 2023.
“Hasil siasatan kami mendapati terdapat kesan darah di bilik nombor dua di rumah si mati (Zayn Rayyan) dan terdapat kesan darah atau asid deoksiribonukleik (DNA) di dalam bilik air rumah si mati.
“Saya telah hantar semua calitan (swabbing) DNA yang diambil dari pihak forensik. Setelah dimaklumkan itu adalah tindak balas darah, saya telah buat siasatan untuk mengesahkan mengapa darah tersebut berada di dalam bilik dan jugak bilik air,” katanya.
Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berusia 30 tahun yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023 pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan masih kekal mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Ulasan
Catat Ulasan