

Berita
'Kalau tak kuasai bahasa kebangsaan, belum layak jadi rakyat Malaysia'
Diterbitkan: Apr 24, 2025 8:00 AMPenguasaan bahasa Melayu yang semakin merosot dalam kalangan pelajar sekolah mendorong seorang lelaki mengambil langkah tegas apabila mengenakan syarat sebelum anak-anaknya dibenarkan menyemat Jalur Gemilang pada dada masing-masing.
Bagi Ng Chee Kean, dia percaya bahawa bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi sebaliknya menjadi nadi kepada pembentukan jati diri warga Malaysia.
Pada masa sama dia mengakui realiti di sekolah vernakular amat membimbangkan apabila ramai murid dan guru di situ bertutur hampir sepenuhnya dalam bahasa selain bahasa Melayu.
Justeru Chee Kean, 46, menetapkan bahawa dua anaknya - yang belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Puchong - hanya 'layak' memakai lencana Jalur Gemilang jika mereka fasih menggunakan bahasa kebangsaan.
Hal itu kerana, bagi Chee Kean, pemakaian bendera pada baju sekolah bukan sekadar simbol atau aksesori semata-mata.
“Saya beri peringatan kepada anak-anak saya bahawa ini bukan lencana biasa-biasa. Ini adalah Jalur Gemilang, bendera kita, bendera Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Chee Kean, di sekolah vernakular lazimnya para guru menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk mengajar dan ia seolah-olah menghantar isyarat kepada pelajar bahawa tiada keperluan untuk menguasai bahasa Melayu.
Bagi mencapai matlamat tersebut, Chee Kean menetapkan agar kedua-dua anak lelakinya - Ng Ho Wie atau Upin, dan Ng Ho Race (Ipin) - agar mereka menunjukkan kemampuan dalam bahasa Melayu.

Jika gagal, katanya, tindakan tegas menanti anaknya itu yang masing-masing berusia 10 dan sembilan tahun.
“Saya akan keluarkan lencana dari seragam mereka. Kalau tak boleh kuasai bahasa kebangsaan, maksudnya mereka belum layak jadi rakyat Malaysia yang sebenar,” katanya.
Kelmarin tular hantaran seorang bapa di media sosial berkenaan syarat ketat yang dikenakan ke atas dua anaknya terkait isu penguasaan bahasa Melayu. Ia turut menarik perhatian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Menggelarkan dua kanak-kanak itu sebagai Upin dan Ipin, Chee Kean berkata, dia meletakkan beberapa syarat buat mereka susulan langkah Kementerian Pendidikan Malaysia mensyaratkan pemakaian lencana Jalur Gemilang tersebut.
Hari Bahasa Kebangsaan setiap minggu
Kata Chee Kean dengan adanya Jalur Gemilang yang kini wajib dikenakan pada pakaian sekolah, dia mengingatkan anak-anaknya agar pakaian itu dijaga dengan teliti.
Menurutnya pakaian yang dikenakan Jalur Gemilang itu tidak boleh dibiarkan kotor atau diabaikan seperti diletakkan merata-rata sebagai tanda menghormati bendera negara.
"Sekarang juga saya mengutamakan Upin dan Ipin berbahasa Melayu termasuk semasa mereka bercakap dengan kawan-kawan atau guru," katanya.
Chee Kean juga menegaskan bahawa ketegasan itu sekadar menjadi galakan kepada kanak-kanak terbabit menghargai Malaysia sebagai tanah tempat tumpah darah mereka, selain menanamkan rasa bangga pada diri masing-masing.

“Mereka gembira sangat. Mereka rasa macam jadi wakil Malaysia apabila memakai lencana itu,” katanya.
Mengenai penekanan terhadap penguasaan bahasa Melayu, Chee Kean berkata dia tidak boleh mengharapkan pihak sekolah semata-mata mendidik Upin dan Ipin.
Tambahan pula, katanya, Upin dan Ipin itu mengikuti pendidikan di sekolah vernakular.
"Malah isteri saya juga meminta agar saya berusaha lebih lagi agar anak-anak kami mahir berbahasa Melayu," katanya.
Bagi Chee Kean, rasa cinta terhadap bahasa Melayu dan negara tidak seharusnya bersifat individu. Justeru, katanya, dia berharap ibu bapa lain turut memainkan peranan dalam mengangkat martabat bahasa kebangsaan.

“Kalau kita tak campur tangan sekarang, satu hari nanti akan ada rakyat Malaysia yang tak tahu cakap bahasa Melayu sama sekali,” katanya.
Dia juga mencadangkan agar sekolah di negara ini menganjurkan Hari Bahasa Kebangsaan seminggu sekali.
Ketika itu, katanya, hanya bahasa Melayu digunakan dalam setiap urusan di sekolah terbabit.
"Kempen ini perlu diadakan secara berterusan sehinggalah kita dapat menaikkan kadar penguasaan bahasa kebangsaan pada tahap yang memuaskan,” katanya.
Mengulas lanjut, Chee Kean juga menyatakan rasa sedih apabila ada sesetengah guru - termasuk di sekolah kebangsaan - gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik.
Ketika ini, katanya, ada guru yang seolah-olah sengaja memilih bahasa selain bahasa Melayu untuk berkomunikasi walaupun mereka tidak ada sebab untuk berbuat demikian.
“Pada zaman saya dulu, semua budak Cina boleh cakap bahasa Melayu.
“Tapi sekarang, dengan adanya media sosial dan pengaruh luar, bahasa Melayu semakin dilupakan,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan