
Kebakaran Putra Heights: Pemilik rumah musnah diberi bantuan RM10,000
07 April 2025 01:52pm
Masa membaca: 2 minit
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media hari ini di Wisma Dewan Annexe, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, bagi memaklumkan perkembangan terkini berhubung kejadian kebakaran saluran paip gas yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya. Foto Bernama
SHAH ALAM - Pemilik rumah yang musnah dalam kejadian insiden letupan gas di Putra Heights baru-baru ini akan menerima sumbangan segera berjumlah RM10,000 bermula Isnin ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah berkenaan disalurkan oleh kerajaan Persekutuan sebanyak RM5,000 manakala selebihnya RM5,000 sumbangan daripada Petronas yang diurus selia kerajaan negeri.
Menurutnya, selain itu, rumah yang telah dikenal pasti mengalami separa kerosakan serta terjejas, namun tidak terbakar termasuk penyewa turut menerima bantuan berjumlah RM5,000.
“Bantuan kepada 219 mangsa yang telah dikenal pasti akan diserahkan mulai hari ini (Isnin) dan kita anggarkan sehingga Jumaat ini,” katanya ketika sidang akhbar di Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, pada Isnin.
Tambah Amirudin, proses pengagihan akan dijalankan secara berperingkat di mana setiap penerima akan dipanggil secara individu oleh Jawatankuasa Bencana bagi mengesahkan kelayakan masing-masing.
Sebelum ini dilaporkan, kerajaan Persekutuan dan Petronas akan menyalurkan bantuan sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang rosak, manakala RM2,500 diberikan kepada mereka yang terkesan akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban mangsa bagi perbelanjaan sementara.
Ulasan
Catat Ulasan