Kelantan yakin Kerajaan Persekutuan pertimbang cadangan projek rakyat

Kelantan yakin Kerajaan Persekutuan pertimbang cadangan projek rakyat
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali - April 12, 2025 @ 12:23pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersalaman dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, di Kompleks Kota Darulnaim bagi mengadakan perjumpaan tertutup. - NSTP/SITI ROHANA IDRIS

BACHOK: Kelantan mengemukakan beberapa cadangan projek keutamaan kerajaan negeri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, yakin cadangan itu akan mendapat pertimbangan sewajarnya.

"Alhamdulillah, beberapa cadangan projek yang menjadi keutamaan kerajaan Kelantan sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri.

"Insya-Allah, saya cukup optimis atas semangat Federalisme yang tinggi, cadangan itu akan dapat pertimbangan sewajarnya oleh pihak Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

"Dalam hal pentadbiran, hubungan baik antara negeri dan Persekutuan yang dijunjung atas semangat Federalisme yang matang dan bermaruah diharapkan terus direalisasikan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI peringkat negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini, hari ini.

Selain Anwar, majlis turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mohd Nassuruddin berkata, negeri dan Persekutuan tidak hadir untuk saling bersaing tetapi perlu bergerak seiring menjayakan agenda rakyat.

"Kami di Kelantan bergerak dengan pelan strategik Penghayatan Membangun Bersama Islam, sentiasa komited memelihara perpaduan dan keharmonian rakyat serta memastikan hubungan matang dan sejahtera bersama Kerajaan Persekutuan terus diperkukuh demi manfaat rakyat.

"Keamanan dan keharmonian yang terbina dalam negara hendaklah terus dijaga dan diperkukuhkan," katanya.

Ulasan