Keluarkan PM daripada proses pelantikan hakim? - Tun Abdul Hamid Mohamad


Keluarkan PM daripada proses pelantikan hakim?
PERKARA 122B Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri dalam pelantikan Ketua Hakim Negara.
Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad
21 April 2025, 8:00 am

SAYA fikir perbincangan ini patut dibahagikan kepada dua tempoh masa, iaitu sebelum dan selepas Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK 2009) berkuat kuasa iaitu pada 2 Februari 2009.

Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri dalam pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim, Hakim Besar Mahkamah Tinggi (Malaya) Hakim Besar Mahkamah Tinggi (Sabah dan Sarawak), Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuandan Mahkamah Tinggi.

Ayat bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri dalam pelantikan hakim-hakim itu tidak dipinda semenjak penubuhan Malaysia (1963) hinggalah sekarang. Yang membezakan kedudukan dalam dua tempoh itu ialah Akta SPK 2009.

Mengikut Perlembagaan, sebelum 2009, asalkan Perdana Menteri mematuhi keperluan berunding yang ditetapkan oleh Perlembagaan, beliau boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong sesiapa sahaja yang memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Perlembagaan menjadi hakim atau dinaikkan pangkat. Itu adalah prerogatif beliau.

Maka, jika beliau memilih seorang daripada partinya atau penyokong partinya atau tidak memilih seorang dari parti pembangkang menjadi hakim beliau tidak boleh dikatakan melanggarnya. Jika beliau memilih seorang hakim yang junior untuk dilantik menjadi ketua hakim kerana beliau fikir hakim itu akan berat kepadanya pun, beliau tidak boleh dituduh campur tangan politik. Itu prerogatifnya.

Di Malaysia, tiga Perdana Menteri pertama, mengikut kekananan (seniority) dalam kenaikan pangkat hakim. Mungkin itu kerana mereka kesemuanya peguam latihan England. Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri pertama yang tidak mengikutnya. Beliau boleh menghujahkan itu prerogatifnya. Sebaliknya boleh juga dihujahkan bahawa itu adalah perbezaan di antara seorang negarawan dengan seorang ahli politik. Tetapi, saya tidak fikir beliau boleh memberi hujah yang sama mengenai peristiwa penyingkiran Tun Salleh Abas.


Tun Abdullah Badawi, didesak oleh UMNO, mencuba sedaya upaya untuk menghalang saya daripada menjadi ketua hakim walau pun saya hakim paling kanan semata-mata kerana saya melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Orang politik tidak pedulikan alasan penghakiman. Asalkan hakim itu melepas dan membebas musuh politik mereka, hakim itu orang dia. Sejauh itu sahaja fikiran mereka. Tetapi akhirnya beliau mengalah kepada Sultan Azlan Shah. Mahathir tidak puas hati dengannya kerana baginya Tun Abdullah tidak patut mengalah. Biar apa pun, saya yang untung. – Lihat Politik Dalam Pelantikan Hakim-Hakim di Malaysia (05 10 2022).

Selepas itu Akta SPK 2009 pun berkuat kuasa. Ia berjalan dengan baik semasa Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Lihat Judicial Appointments Commission As I See It (28 01 2012).

Kemenangan Pakatan Harapan menyaksikan Mahathir menjadi Perdana Menteri sekali lagi. Peristiwa Tun Salleh Abas berulang lagi, kali ini melibatkan Tun Raus Sharif, ketua hakim dan Tan Sri Zulkefli Makinuddin, Hakim Besar (Malaya). Bukan sahaja beliau memanggil kedua-dua hakim itu ke pejabatnya dan menyuruh mereka meletak jawatan/bersara, Tun Daim Zainuddin yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan Mahathir turut berbuat demikian, atas kapasiti apa? Perbuatan ini dan penganugerahan gelaran Tan Sri kepada Tun Tengku Maimun Tuan Mat menunjukkan Mahathir hendak menunjukkan kepada mereka siapa bos.

Dalam 2019, Mahathir telah memilih Tengku Maimun yang hanya baru menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan selama enam bulan menjadi ketua hakim. Kisah pelantikannya diceritakan oleh Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya My Story: Judiciary in the Wilderness. Beliau mengatakan beliau telah mencadangkan nama Tengku Maimun kepada Mahathir dan beliau bersetuju. Nama Tengku Maimun terus dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk mendapat persetujuan. Sedikit pun tidak disebut mengenai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).

Pada masa itu, Akta SPK 2009 sudah berkuat kuasa. Soalnya bukan lagi sama ada beliau melakukan campur tangan politik atau penyalahgunaan prerogatif dalam pelantikan ketua hakim. Soalnya adakah pelantikan itu dibuat menurut prosedur yang ditetapkan oleh Akta SPK 2009 dan adakah pelantikan itu sah?

Pelantikan itu disambut gembira oleh penyokong-penyokong Pakatan Harapan, termasuk Majlis Peguam kerana Pakatan Harapan telah melantik wanita pertama menjadi ketua hakim negara. Bukan sahaja pelantikan seorang yang amat junior tidak dipersoalkan, sama ada pelantikan itu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Akta SPK2009 juga tidak dipersoalkan.

Kita tidak tahu, Tengku Maimun dan ahli-ahli SPK pada masa itu juga membisu mengenainya. Majlis Peguam gembira penghakiman Mahkamah Persekutuan di bawah pimpinan Tengku Maimun selaras dengan kehendak mereka dan falsafah Pakatan Harapan, walaupun setelah Pakatan Harapan jatuh.

Kita juga tidak tahu sama ada tiga orang Perdana Menteri selepas Mahathir mengganggu proses pelantikan hakim atau membelakangkan SPK. Ketua hakim dan ahli-ahli SPK pun tidak bercakap mengenainya. Kita menyangka semuanya berjalan seperti yang ditetapkan oleh Akta SPK 2009 walaupun kita kurang senang melihat hakim-hakim yang junior dinaikkan pangkat melangkau hakim-hakim yang lebih kanan dan hakim-hakim yang pandangan mereka tidak serupa dengan pandangan ketua hakim dan pasukannya diketepikan.

Tiba-tiba, isu ini menjadi panas selepas ucapan Tun Tengku Maimun di Pembukaan Tahun Undang-Undang 2025 pada 8 Januari 2025. Setelah menceritakan prosedur pelantikan hakim dengan panjang lebar, beliau berkata:

“78] Oleh itu, apa yang jelas daripada peruntukan Perlembagaan mengenai pelantikan hakim, dibaca dengan prosedur tambahan dalam Akta SPK 2009 ialah tidak ada sesiapa selain daripada SPK dan Perdana Menteri yang boleh mencadangkan calon untuk pelantikan ke semua jawatan hakim di mahkamah tertinggi.

79] Sebarang bentuk pemintasan peruntukan ini boleh menyebabkan pelantikan tersebut sama ada tidak berperlembagaan atau melanggar undang-undang bertulis. Atas sebab ini, tiada seorang pun, sama ada Presiden Majlis Peguam Malaysia, mana-mana peguambela atau peguam cara, mana-mana parti politik, Peguam Negara atau sesiapa pun berhak mencadangkan nama seseorang kepada Perdana Menteri untuk pelantikan”. (Terjemahan saya.)

Saya tiada masalah dengan perenggan 78. Perenggan 79 adalah ibarat pepatah Melayu, meludah ke langit menimpa batang hidung sendiri. – UTUSAN

TUN Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara.

Ulasan