
Kenapa ahli BN dan PH perlu undi PN di Ayer Kuning?
Beri mesej tidak setuju dengan pemimpin Madani yang gagal tunai janji
April 9, 2025
TAPAH: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden menyeru pengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memberi undi kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) dalam PRK N.48 DUN Ayer Kuning.
Gesanya, ia sebagai tanda protes kepada Kerajaan Madani yang gagal menunaikan janji dan mereka tidak perlu bimbang kerana tindakan memberi undi kepada PERIKATAN NASIONAL tidak akan mengubah kerajaan sedia ada.
Beliau mengemukakan kedudukan terkini kerusi Dewan Negeri (DUN) Perak iaitu PH dengan 24 kerusi terdiri daripada DAP (18), PKR (5) dan PAN (1), manakala BN selaku gabungan kerajaan mempunyai 8 kerusi iaitu Umno (7) dan MCA (1).
Maklum beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, sementara PN selaku pembangkang mempunyai kekuatan 26 kerusi iaitu PAS (17) dan Bersatu (9) dengan kini perebutan kerusi PRK DUN Ayer Kuning berlaku antara PN dan BN.
Ustaz Afnan memberitahu, calon PN, Ustaz Abd Muhaimin Malek yang berusia 44 tahun itu ditampilkan pada PRK tersebut, sedia memikul tanggungjawab melaksanakan tugas bagi mewakili warga penduduk di DUN Ayer Kuning.
“Muda 10 tahun berbanding calon BN yang diumumkan sebelum ini. Berlatar belakangkan kelulusan akademik yang tinggi, dikenali masyarakat setempat melalui siri kuliah ilmu dan sumbangannya di dalam bidang pendidikan masyarakat setempat.
“Ustaz Muhaimin calon terbaik untuk diangkat sebagai pemimpin mewakili rakyat di DUN Ayer Kuning kelak,” seru beliau yang juga Ketua Pemuda PN.
Tegas Ustaz Afnan, dengan memberi undi kepada PN, kedudukan ahli BN dan PH tidak akan terjejas, tetapi undi mereka kali ini mampu memberi mesej tidak setuju dengan pemimpin Madani yang gagal menunaikan janji.
Jelasnya, dengan mengundi PN, mereka dapat beri mesej kepada Kerajaan Madani bahawa mereka tidak setuju dengan keadaan negara yang semakin tidak menentu pada hari ini.
“Anda dapat seorang wakil rakyat yang terbukti jujur, tidak berbohong, berintegriti, ada pendidikan agama yang tinggi, petah berbicara, boleh berucap menyampaikan suara rakyat.
“Pembangunan di Ayer Kuning akan tetap berjalan dan membangun kerana kemungkinan akan dilantik seorang Pegawai Khas Menteri Besar di kawasan pembangkang bagi meneruskan projek pembangunan seperti di kawasan pembangkang yang lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan