Keputusan rayuan Syed Saddiq dua bulan lagi, 25 Jun depan



Keputusan rayuan Syed Saddiq dua bulan lagi, 25 Jun depan
Sinar Harian
24/04/2025 12:10 MYT

Mahkamah sebelum ini menetapkan 19 dan 20 Mac serta 17 April bagi prosiding pendengaran rayuan Syed Saddiq bagi kes itu.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis menetapkan keputusan rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman atas empat pertuduhan membabitkan kesalahan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) pada 25 Jun depan.

Ringkasan AI Mahkamah Rayuan menetapkan keputusan rayuan Syed Saddiq pada 25 Jun, di mana beliau memohon untuk mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman atas empat pertuduhan termasuk pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram.

Pada 9 November 2023, Syed Saddiq dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan-kesalahan tersebut. Beliau kemudian memfailkan rayuan dengan 18 alasan untuk dibebaskan daripada pertuduhan.

Prosiding rayuan ini adalah peringkat kedua pengadilan. Jika rayuan diterima, Syed Saddiq akan dibebaskan serta-merta. Jika tidak, beliau masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan. Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan demikian ketika dihubungi media selepas pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian.

Pada 17 April lalu, panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin berkata, mahkamah akan menetapkan tarikh lain bagi keputusan rayuan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan Syed Saddiq, 33.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 19 dan 20 Mac serta 17 April bagi prosiding pendengaran rayuan Syed Saddiq bagi kes itu.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada.

Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat pertuduhan itu serta mengetepikan hukuman terbabit.

Prosiding rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan, di mana sekiranya beliau didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, jika panel hakim membenarkan rayuan anak kelahiran Johor Bahru itu dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, beliau akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama. - Sinar Harian

Ulasan