
Kerajaan negeri ambil alih Kuala Kijal demi nelayan
April 6, 2025
KEMAMAN: Keputusan kerajaan negeri mengambil alih semula kawasan Kuala Kijal dari tangan pihak swasta telah membuka lembaran baharu buat komuniti nelayan setempat yang sekian lama bergelut dengan pelbagai cabaran demi meneruskan kelangsungan hidup.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, Kuala Kijal bukan sekadar pantai biasa ia merupakan pusat ekonomi penting bagi nelayan di Kampung Penunjuk dan Kampung Che Wan.
Katanya, sejak tanah tersebut dipajak kepada Resort World Awana selama 90 tahun oleh kerajaan terdahulu, pelbagai isu mula timbul.
“Dengan pengambilalihan ini, nelayan kini mempunyai akses lebih baik kepada sumber rezeki dan pantai Kijal akan kekal terpelihara untuk generasi akan datang.
“Sebelum ini, nelayan dibenarkan mencari rezeki di situ, tetapi mereka menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya, kekurangan infrastruktur yang sesuai kerana tiada tempat parkir bot yang selesa serta kemudahan asas untuk nelayan.
“Selain itu, mereka sering berdepan masalah muara tertutup akibat pasir yang berkumpul dari Kampung Che Wan dan Penunjuk Kijal, menyebabkan laluan keluar masuk bot terganggu.
“Disebabkan hal ini, kerajaan tidak dapat menggunakan bajet rasmi untuk membuka muara tersebut, menyebabkan nelayan terpaksa bergotong-royong serta mengeluarkan wang sendiri bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau, bantuan daripada pihak resort hanya datang setahun sekali dalam bentuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang jelas tidak mencukupi untuk menangani masalah yang berlaku dua hingga tiga kali setahun.
“Beban kewangan ke atas nelayan semakin berat kerana jika mereka ingin mempercepatkan proses membuka laluan, mereka perlu mengeluarkan wang sendiri.
“Oleh itu, kerajaan mengambil tindakan untuk membetulkan keadaan dan memastikan kebajikan nelayan terbela,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri.
Menurut Razali lagi, dua faktor utama menjadi pemangkin kepada keputusan kerajaan untuk mengambil semula tanah tersebut.
“Pertama, pembinaan struktur pemecah ombak (breakwater) yang bukan sahaja memberikan perlindungan kepada bot nelayan daripada ombak besar, tetapi juga menyediakan kawasan parkir bot yang lebih selamat.
“Kedua, keperluan untuk mengawal hakisan pantai yang semakin serius di Penunjuk dan Kampung Che Wan, dengan kehilangan tanah antara tujuh hingga sepuluh kaki setiap tahun,” katanya.
Tambahnya lagi, dengan adanya pemecah ombak, hakisan dapat dikawal, sekali gus memelihara keindahan pantai di Kijal. – HARAKAHDAILY 6/4/2025

Ulasan
Catat Ulasan